Mayat bukan individu dilaporkan hilang ketika memancing

15 Februari 2025
RANAU: Mayat yang ditemui di puncak bukit pada Khamis lalu, bukan mangsa yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung Paus.
Perkara itu disahkan ahli keluarga selepas pengecaman dibuat terhadap mayat berkenaan.
Sebelum ini, seorang pemancing yang dikenali sebagai Mokthar Azrin Amat, 30, dilaporkan hilang dan operasi mencari mangsa sedang giat dijalankan pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua pada Jumaat, menerima maklumat seorang mangsa ditemui di puncak bukit berkenaan.
Katanya, lokasi penemuan berkenaan terletak kira-kira 15 kilometer dari mangsa dilaporkan hilang.
"Pasukan bomba kemudian bertindak mengambil mangsa di lokasi yang mengambil masa 12 jam perjalanan.

"Bagaimanapun, selepas pengecaman dibuat oleh ahli keluarga mendapati, mangsa berkenaan bukanlah orang yang dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ridwan berkata, operasi SAR kemudiannya ditangguhkan pada jam 6 petang dan disambung semula pada pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ranau Superintenden Mursalin Mahmud berkata, pihaknya belum dapat membuat pengesahan identiti mangsa yang ditemui di puncak bukit berkenaan.
"Belum boleh buat pengesahan memandangkan keadaan muka mayat yang sudah reput," katanya.
Comments