Mayat mangsa buaya ditemui
27 Disember 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
KINABATANGAN - Mayat mangsa yang dibaham buaya dekat Kampung Bilit, Kinabatangan pada petang kelmarin (Khamis) telah berjaya dijumpai pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini oleh orang awam yang telah berjaya menemui mangsa pada jam 6.00 pagi tadi (Jumaat) pada jarak 1km dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya.
SAR berkenaan dijalankan bersama pihak Bomba Kinabatangan, orang awam dan Jabatan Hidupan Liar.
Mangsa dikenali sebagai Maznin Kahar, 40, dilaporkan hilang dan dipercayai dibaham buaya selepas bot yang dinaiki bersama 3 lagi rakan sekerjanya secara tiba-tiba telanggar suatu objek dan menyebabkan bot itu terbalik dan karam dekat Kampung Bilit, Kinabatangan, petang Khamis.
Mereka sebelum itu sedang dalam perjalanan menuju ke tempat pemunggahan kayu belian yang dibawa di bot berkenaan kira-kira jam 1.00 petang Khamis.
Mangsa juga sempat meminta tolong selepas mendapati dirinya dibaham buaya tetapi tidak berjaya diselamatkan oleh 3 rakan yang terselamat dalam kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, berkata, pihaknya yang menerima laporan daripada Balai Polis Sukau pada jam 1.35 petang Jumaat kemudian melakukan SAR berkenaan.
Mayat mangsa juga telah diserahkan kepada pihak Polis bagi tindakan selanjutnya.
Comentários