top of page
nabalunews

Maybank Jalan Gaya, dulu suram, kini tumpuan pelancong

Dua pelancong dari China, Lansey (kanan) dan Tinny serta orang ramai bergambar di hadapan Maybank Jalan Gaya

21 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Lokasi ini mungkin tidak menawarkan pemandangan alam semula jadi yang memukau seperti gunung, laut, atau sungai.


Namun begitu, bangunan ini tetap memiliki keistimewaan tersendiri.


Terletak di tengah-tengah bandar raya Kota Kinabalu, bangunan ini dahulunya menempatkan pejabat lama Maybank cawangan Jalan Gaya.


Meskipun ia sekadar sebuah bangunan pejabat, ia kini menjadi tumpuan para pelancong asing, terutamanya dari China.


Populariti bangunan ini semakin melonjak dan telah menjadi tular di media sosial sejak tiga minggu yang lalu, menarik perhatian ramai yang ingin melihat dan merasai pengalaman di lokasi ini selain merakamkan gambar kenangan.


Bangunan ini sudah lama wujud, dibina pada 1960an lagi. Sepertimana premis perniagaan yang lain, premis Maybank di Jalan Gaya atau Gaya Street, Kota Kinabalu ini setia berkhidmat kepada pelanggan bank.


Ketika itu tiada siapa yang mempedulikannya.


Namun kini, pejabat lama Maybank cawangan Gaya Street ini menjadi tumpuan pelancong China sehingga tular di media sosial.

Seorang wanita berpakaian tradisi sedang bergambar di hadapan Maybank Jalan Gaya

Selain Maybank cawangan Jalan Gaya ini, terdapat juga premis Maybank lain di sekitar bandar raya Kota Kinabalu seperti Maybank cawangan Jalan Perpaduan dan Maybank cawangan Lintas Square.


Malah ibu pejabat Maybank Sabah juga terletak di Kota Kinabalu iaitu di Lorong Kemajuan, Karamunsing.


Namun hanya Maybank Cawangan Jalan Gaya ini yang menjadi tumpuan pelancong asing khususnya dari China serta pelancong tempatan sejak kira-kira 3 minggu lalu.


Premis ini yang dilaporkan sudah ditutup sejak lebih 10 tahun lalu kerana strukturnya sudah tidak selamat, dikatakan mula popular sejak dimuat naik di platform media sosial China, Xiaohongshu kira-kira 3 minggu lalu.


Setiap hari, ratusan pelancong dalam dan luar negara serta penduduk tempatan Sabah, dilihat mengambil gambar dari awal pagi sehingga ke lewat malam, berlatar belakangkan bangunan Maybank Jalan Gaya ini.


Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes juga tidak ketinggalan merakam gambar kenangan di sini, baru-baru ini.


Kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut melakukan kerja pembersihan di sini setiap hari untuk memastikan persekitaran kawasan tumpuan pelancong baharu ini sentiasa bersih dari sampah sarap.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A dan Penasihat Strategik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bersama pengamal media Sabah di hadapan Maybank Jalan Gaya.

Tinjauan Nabalu News selama kira-kira 3 jam Sabtu lalu mendapati pejabat lama Maybank cawangan Gaya Street ini tidak putus-putus dikunjungi pelancong China serta pelancong dari Semenanjung Malaysia untuk bergambar kenangan.


Malah ramai penduduk tempatan Sabah datang untuk merakamkan foto atau swafoto di sini.


Ada juga yang mengenakan pakaian tradisi khusus untuk bergambar di sini.


Menurut seorang penduduk Sabah, Calvin Lee, bangunan Maybank Jalan Gaya menjadi tular selepas di muat naik di platform media sosial popular China, Redbook atau Xiaohongshu.


Trend ini dikatakan dimulakan oleh sekumpulan pelancong China yang mengambil gambar di depan Maybank dan memuat naik foto itu ke platform Xiaohongshu.


"So dari kata-kata mereka, harimau ni melambangkan Malaysia dan juga kuning dia adalah sesuatu yang kononnya baik untuk nasib, so mereka ambil gambar di sini dan seterusnya banyak juga orang YB, orang VIP contohnya Encik Tony Fernandes juga sudah ambil gambar di sini, dan juga mulakan trend ini seperti yang boleh dilihat sekarang ramai orang," kata Calvin.


2 pelancong China dikenali Lansey dan Tinny yang ditemui ketika bergambar di lokasi berkenaan berkata Maybank cawangan Jalan Gaya popular di kalangan warga China kerana dikatakan mempunyai elemen Feng Shui yang membawa tuah, berbanding lokasi lain di Kota Kinabalu.


Terdapat juga catatan di media sosial yang menyatakan Maybank Jalan Gaya mempunyai elemen Feng Shui yang membawa tuah kerana kedudukan bangunan ini dengan simbol harimau yang terletak di persimpangan arah Tenggara-ke-Barat Laut dan Utara-ke-Barat Daya.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin turut bergambar di hadapan Maybank Jalan Gaya

Arah dan aliran ini dikatakan membawa tuah untuk keluarga dan keturunan.


Manakala Harimau adalah simbol Feng Shui yang membawa tuah untuk kekayaan, kesihatan, keturunan dan keluarga.


Tidak ketinggalan merakamkan gambar kenangan di sini adalah pelancong dari Semenanjung Malaysia serta penduduk tempatan Sabah sendiri yang memakai baju tradisi.


"Sebabkan dia viral dalam sosial media so bila kita datang ke Kota Kinabalu untuk melancong kat KK, sebab tu kita datanglah. Sudah sampaikan, kita datanglah," kata Ong Ming Yu, pelancong dari Semenanjung Malaysia.


Seorang penduduk tempatan Sabah, Belinda Willie turut tidak mahu ketinggalan merakamkan gambar kenangan di hadapan bangunan Maybank Jalan Gaya.


"Bangunan ini kini tular, sebab itu kami datang ke sini. Bukan itu sahaja, warna kuning terang pada bangunan itu amat jelas dan cantik dilihat bila anda mengambil foto. Sebelum bangunan ini dirobohkan, kami mahu mengambil gambar kenangan," katanya.


Belinda juga mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana membersihkan kawasan ini agar pengunjung boleh mengambil gambar dalam persekitaran yang bersih.


Seorang lagi penduduk tempatan Sabah, Narison Ungin turut membawa anaknya bergambar dengan berpakaian tradisi etnik Sabah.


"Unntuk makluman sehari dua ni, kita nampak bangunan ini sudah viral. Jadi saya selaku peminat Maybank ini telah datang di sini untuk bergambar bersama, ambil peluang. Kebetulan anak ni baru habis, ada 1 pertandingan di Dewan Seri Putatan. Jadi selepas tu terus kami ambil peluang tu untuk bergambar," kata Narison.


Kesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh peniaga dan usahawan tempatan untuk menjual produk mereka.


Antaranya peniaga produk makanan dan minuman tempatan Sabah, Ariel Ang.


"Sebab dia punya view kena viral lepas tu kita punya produk ni untuk yang orang luar, China, so kita boleh harap ambil ni gambar untuk dorang post di media sosial media. Lagipun ini dapat membantu menyokong usahawan tempatan," kata Ariel.


Peniaga kedai makan di sekitar Jalan Gaya juga melaporkan prestasi jualan yang semakin baik sejak Maybank Jalan Gaya menjadi tumpuan pelancong asing dan pelancong tempatan.


Peniaga kedai makan, Eric Houng berkata jualan di restoran beliau melonjak sejak 2 hingga 3 minggu yang lalu sejak Maybank Jalan Gaya yang terletak kira-kira 60 meter dari premis perniagaannya, menjadi tumpuan ramai.

Comments


bottom of page