top of page

MAYBANK SASAR 10,000 PENIAGA MELALUI PLATFORM SAMA-SAMA LOKAL

nabalunews

14 JAN 2021


KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) merancang untuk menarik lebih daripada 10,000 peniaga dan menyampaikan 1,000 pesanan setiap hari melalui platform dalam taliannya yang dikenali sebagai Sama-Sama Lokal menjelang akhir tahun.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti, Datuk John Chong berkata Sama-Sama Lokal yang dilancarkan pada pertengahan April tahun lepas telah mendapat sambutan hebat daripada perniagaan tempatan seperti penjaja, pasar dan kedai runcit termasuk penyedia perkakasan rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada pertengahan Mac 2020.


"Sejak penubuhannya, kami telah memproses hampir 50,000 pesanan dan platform kami mempunyai lebih daripada 4,400 peniaga.


"Kami berharap untuk menarik lebih ramai peniaga bagi menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan yang lebih luas kepada pelanggan kami," katanya kepada Bernama.


Chong berkata Sama-Sama Lokal dimulakan dengan niat untuk membantu perniagaan kecil masuk ke dalam talian apabila mereka tidak dapat beroperasi dari kedai fizikal mereka akibat pandemik COVID-19 dan PKP.


"Kami tidak mengenakan komisen atau sebarang yuran persediaan, ini membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau perniagaan mikro mendapat keuntungan sepenuhnya daripada jualan mereka.


"Maybank juga bertanggungjawab ke atas mekanisme penghantaran, mengurangkan keperluan serta kebimbangan mereka dengan integrasi penyampaian," katanya.


Beliau berkata peniaga Sama-Sama Lokal juga mampu mendapat manfaat daripada kempen pemasaran Maybank terpilih, yang akan melibatkan mereka tanpa sebarang kos.


Maybank juga menyediakan panduan untuk perniagaan tempatan menjual produk mereka, memasuki platform berkenaan serta pengiklanan.


"Oleh itu, kami berharap orang ramai akan menunjukkan sokongan mereka bagi membantu perniagaan tempatan ini dan memastikan mereka melangsungkan hidup semasa waktu-waktu yang mencabar ini," tambah Chong.


Berdasarkan maklum balas yang menggalakkan daripada komuniti perniagaan dan pelanggan bank, Maybank merancang untuk terus mengekalkan platform itu pada masa depan.


''Kami sedang memantau dan menganalisis interaksi antara pemilik perniagaan serta pelanggan bagi membantu mengenal pasti kekuatan mereka dan bagaimana kami boleh menyokong untuk meluaskan jangkauan pelanggan mereka. Kami juga sedang mengusahakan automasi penghantaran, agar pelanggan kami menikmati pengalaman yang lebih baik.”


Homi Chicken Curry Puff Sdn Bhd adalah antara PKS yang mendapat manfaat daripada platform ini kerana ia banyak menerima tempahan daripada pelanggan sejak PKP.

Ketua Pembangunan Perniagaan Homi, Edward Kee Keh Kui berkata jualan syarikat itu melonjak selepas menyertai platform itu.


"Sejak PKP, kami terpaksa berubah, daripada model batu bata tradisional ke arah penghantaran ke rumah dan ruang digital. Itulah bagaimana kami mendapat peluang melalui Sama-Sama Lokal.


"Selepas menyertai platform ini, kami telah menjual hampir 11,000 karipap dalam tempoh PKP kepada pelanggan Maybank, sektor korporat dan perhimpunan keluarga," katanya.


Sementara itu, pengasas syarikat pemborong buah-buahan Ezydurian Solution, Khairul Anuar Mohamadiah berkata pelanggannya telah mendapat manfaat daripada kempen Maybank kerana bank itu memberi diskaun untuk produk tersebut serta promosi yuran penghantaran yang semuanya ditanggung penuh oleh Maybank.


"Melalui platform Sama-Sama Lokal, pelanggan sudah mula mengenali kami dan ia membantu melonjakkan jualan kami sepanjang tempoh PKP," katanya sambil menambah syarikatnya menjual sehingga dua tan durian setiap hari semasa kempen Maybank tahun lalu berbanding satu tan secara normal. – Bernama

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page