MCMC diarahkan kenal pasti syarikat telekomunikasi gagal projek JENDELA di Sabah
20 November 2024
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan keperluan mendesak untuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti syarikat telekomunikasi yang gagal memastikan kesalinghubungan bagi projek JENDELA Fasa 1 di Sabah.
Beliau mendedahkan bahawa daripada 215 menara yang telah dibina di negeri itu, hanya 130 menara mempunyai kesalinghubungan, menyebabkan penduduk tidak dapat menikmati manfaat projek sepenuhnya.
"Kita melihat situasi ini tidak adil. Ada penduduk yang melihat menara sudah siap lebih sembilan bulan tetapi masih belum beroperasi. Kita mahukan kesalinghubungan untuk rakyat, dan saya telah menegaskan supaya MCMC menyusuli perkara ini," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi hari ini.
Sehingga kini, hanya 56 peratus daripada 382 projek menara JENDELA Fasa 1 di Sabah telah siap dibina.
Fahmi turut mencadangkan rombakan menyeluruh terhadap prosedur pelaksanaan JENDELA Fasa 2 bagi mengelakkan kelewatan yang sama berulang.
"Saya tidak boleh terima apabila kontrak sudah dikeluarkan, tetapi selepas dua tahun, syarikat menyatakan mereka tidak boleh membina menara di lokasi yang ditetapkan. Oleh itu, lokasi menara telekomunikasi Fasa 2 perlu disemak semula dan prosesnya dimulakan semula," jelasnya.
Beliau menegaskan langkah ini penting untuk memastikan keberkesanan projek dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat seperti yang dirancang.
JENDELA, yang dilancarkan pada 2020, adalah inisiatif kerajaan untuk meningkatkan liputan dan kualiti komunikasi di seluruh negara, terutamanya di kawasan pedalaman.
Comments