top of page

MCMC Keluar ‘FAQ’ Perjelas Pertimbangan Tindakan Kes 3R Maestra Broadcast

nabalunews

12 Mac 2025


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini, mengeluarkan panduan Soalan-Soalan Lazim (FAQ) bagi memperjelaskan pertimbangan tindakan yang diambil berhubung kes menyentuh sensitiviti 3R (agama, raja dan kaum) melibatkan Maestra Broadcast Sdn Bhd, baru-baru ini.


Menurut kenyataan media itu, kertas siasatan dibuka oleh SKMM berdasarkan aduan diterima mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap satu kandungan video didakwa menghina agama Hindu.


Katanya, hasil siasatan mendapati kandungan video tersebut dimuat naik di platform rasmi Tik Tok “era.je” yang dioperasikan oleh Maestra Broadcast Sdn Bhd.

“Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara telah memutuskan agar syarikat tersebut dikenakan kompaun.


“Setelah mengambil kira bahawa kandungan tersebut melibatkan isu kepentingan awam yang telah mewujudkan ketidaktenteraman antara kaum dan agama, kompaun sebanyak RM250,000 telah ditetapkan terhadap syarikat berkenaan.


“Untuk makluman, mengikut pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, hukuman denda maksimum adalah RM500,000 dan penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, selepas insiden tersebut, pihak pengurusan tertinggi syarikat berkenaan telah dipanggil SKMM untuk memperjelaskan isu terbabit dan dinasihatkan untuk memastikan kawalan kandungan yang ketat.


Selain itu, katanya, mereka juga dinasihatkan agar memastikan pematuhan kepada garis panduan kandungan, serta latihan berterusan kepada kakitangan bagi mengelakkan perlanggaran undang-undang.


Berhubung isu notis penggantungan lesen, MCMC berkata, setelah mempertimbangkan pelbagai faktor serta penghujahan bertulis yang dikemukan Maestra Broadcast Sdn Bhd, lesen syarikat berkenaan tidak digantung.

“Ianya juga kerana terdapat pembetulan segera dilakukan seperti permohonan maaf rasmi secara terbuka dan kesan kepada stesen radio lain di bawah lesen yang sama iaitu Melody FM dan Mix FM,” katanya.


Sementara itu, menjawab isu berhubung perbezaan kompaun dalam kes Maestra Broadcast Sdn Bhd berbanding Harith Iskandar dan Cecilia Yap yang memuat naik kandungan serta komen jelik melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu dan dikenakan kompaun RM10,000.


“Tindakan ini diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuatkuasa pada 11 Februari 2025.


“Di mana denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page