top of page
nabalunews

Media perlu jaga etika dalam pelaporan isu sensitif

13 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyeru pengamal media di Malaysia untuk menjaga etika dalam membuat liputan, terutama ketika melaporkan isu-isu sensitif yang melibatkan aspek kemasyarakatan.


Beliau menegaskan agar media mengambil kira adab, batasan, dan menjaga aib dalam setiap pelaporan, sambil merujuk kepada teguran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai liputan meluas perceraian selebriti terkenal Nur Fazura dan Fattah Amin baru-baru ini.


“Nasihat ini terpakai bila-bila masa, bukan hanya dalam isu seperti ini. Tidak menjadi masalah untuk media membuat pelaporan tetapi pada masa yang sama media perlu mendidik dan memupuk satu sikap dalam kalangan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas majlis Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Lembah Pantai di IWK Eco Park, malam tadi.


Fahmi turut mengingatkan bahawa etika kewartawanan perlu dipatuhi, seperti dalam kes yang melibatkan kanak-kanak, di mana wajah mereka tidak boleh dipaparkan dengan sewenang-wenangnya.


Beliau juga menzahirkan kebimbangannya apabila mendapati lima daripada tujuh surat khabar yang dilanggannya pada hari perceraian pasangan itu dilaporkan, menyiarkan berita sensasi tersebut di muka hadapan.


Teguran oleh JAIS melalui khutbah Jumaat bertajuk “Kukuhkan Ikatan Perkahwinan, Elakkan Penceraian” mengingatkan media agar menghormati privasi dan tidak menghebahkan perceraian secara keterlaluan, memandangkan ia adalah pengalaman peribadi yang pahit dan menyakitkan.


Fahmi mengakhiri kenyataannya dengan menasihati media agar lebih beretika dalam pelaporan demi membina Malaysia yang lebih baik dan positif.

Comments


bottom of page