top of page

Media turut berperanan sebar maklumat sahih kepada rakyat - Redonah

nabalunews

Redonah (tengah), Anna Bell (tiga dari kiri) dan pemimpin pergerakan Wanita Gagasan Rakyat yang hadir bersama sebahagian pengamal media mengaul `yee sang' .
Redonah (tengah), Anna Bell (tiga dari kiri) dan pemimpin pergerakan Wanita Gagasan Rakyat yang hadir bersama sebahagian pengamal media mengaul `yee sang' .

12 Februari 2025


KOTA KINABALU: Media massa memainkan peranan penting dalam mendidik rakyat terutama dalam penyebaran maklumat sahih agar tidak mudah terpengaruh dengan penipuan, fitnah dan dakyah pihak tidak bertanggungjawab.


Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, dalam era mengejar arus pembangunan dan kemajuan serta sumber maklumat tanpa sempadan hari ini, penyampian maklumat benar menjadi semakin kritikal dan mencabar.


"Media massa memainkan peranan yang cukup penting untuk merealisasikan impian masyarakat ke arah kehidupan yang lebih moden dan sejajar dengan wawasan negara.


"Media massa mampu mendidik rakyat melalui sebaran yang benar, berfakta dan bermanfaat bagi membantu membentuk kehidupan masyarakat yang sempurna," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda di sebuah hotel di sini hari ini.


Turut hadir Penolong Setiausaha Wanita Gagasan Rakyat, Fahzean Mohiddin, Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Senator Anna Bell Perian, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Api Api, Salmi Sarinoh dan Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din.


Redonah berkata, media adalah pelengkap kepada sebuah masyarakat yang maju melalui peranannya sebagai medium informasi baik secara langsung atau tidak langsung.


"Kita diibaratkan sebagai sebuah rumah yang mempunyai tiang, tingkap, pintu, bumbung yang saling perlu di antara satu sama lain agar dapat berfungsi sebagai sebuah rumah yang memberikan tempat perlindungan kepada penghuninya.


"Sudah semestinya ia tidak akan dapat dilaksanakan tanpa bantuan dan sokongan daripada semua pihak termasuk pihak media. Pengamal media merupakan rakan komunikasi strategik kerajaan khususnya dalam usaha membendung elemen negatif di media sosial termasuk buli siber dan menangkis berita palsu," katanya.


Redonah berkata, kepantasan penyebaran maklumat dan berita di dunia digital seperti media sosial hari ini ditambah dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) memerlukan kesiapsiagaan yang tinggi kepada semua pihak termasuk media.


Katanya, perkembangan dan perubahan itu boleh menjadi kelebihan, namun jika tidak berwaspada terhadap penyebaran pelbagai maklumat di media sosial ia mampu mencetuskan masalah yang rumit dan membimbangkan.


"Kita berharap pengamal media khususnya di Sabah sentiasa dilengkapi dengan maklumat terkini di samping berusaha memperkasa diri dengan ilmu pengetahuan serta kefahaman mendalam mengenai setiap dasar diperkenalkan kerajaan bagi menjadi seorang wartawan terbaik," katanya.


Beliau dalam pada itu merakam terima kasih di atas kerjasama dan sumbangan baik media kepada pelbagai perkembangan dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Gagasan Rakyat.


"Saya mewakili Wanita Gagasan Rakyat Sabah ingin melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada pihak media di atas kredibiliti, sumbangan dan komitmen yang berterusan dalam memaparkan publisiti Wanita Gagasan Rakyat Sabah sepanjang masa," katanya.

Tags:

תגובות


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page