top of page

Mekanik disyaki terlibat kes pecah masuk bengkel diberkas polis

nabalunews

14 Februari 2025


TAWAU: Seorang mekanik yang mempunyai lapan rekod jenayah lampau diberkas, selepas disyaki terlibat kes pecah masuk sebuah bengkel di Jalan Bukit Kukusan bulan lalu.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 28 itu ditahan di sebuah pondok di Jalan Tanjung Batu kira-kira jam 10.30 malam tadi.


Katanya, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau hasil risikan dan operasi.


“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memecah masuk ke bengkel berkenaan pada 21 Januari lalu dan melarikan pelbagai peralatan serta barang berharga dianggarkan bernilai RM40, 000.


“Antara barang yang dilarikan, termasuklah satu unit enjin Yamaha 15 kuasa kuda, komponen kenderaan dan alat elektrik bengkel,” katanya dalam kenyataan media, semalam.


Jasmin berkata, hasil semakan mendapati, suspek mempunyai lapan rekod berkaitan jenayah dan dadah.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian jenayah seumpama ini.


Beliau juga menyeru mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah untuk menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page