top of page
nabalunews

Mekanik ditangkap lerai motosikal curi

14 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Seorang mekanik ditangkap polis selepas disyaki meleraikan komponen motosikal yang dicurinya dalam kejadian di sebuah bengkel di Batu 24, Jalan Apas Balung, semalam.


Suspek ditahan sepasukan polis dalam Operasi Lejang selepas membuat pemerhatian terhadap sebuah bengkel di kawasan tersebut.


Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, semasa pemeriksaan ke atas bengkel itu, pihaknya menemui sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang di kawasan bandar pada 28 Jun lalu.


Sebelum ini, katanya, polis menerima laporan daripada seorang mangsa yang mengatakan motosikal milik bapanya, dianggarkan bernilai RM5, 000 hilang dicuri individu tidak dikenali.


"Semasa siasatan awal, suspek mengaku mencuri motosikal tersebut dan meleraikan komponennya.


"Hasil semakan rekod lampau turut mendapati lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan," katanya lagi.


Jasmin berkata, suspek dan barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Comments


bottom of page