top of page
nabalunews

Membangun usahawan MADANI Kota Marudu


10 Oktober 2024


KOTA MARUDU: Program Bual Bicara Usahawan adalah platform penting untuk golongan belia, beliawanis dan sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan kerana sesi ini memberikan pendedahan mendalam mengenai tatakelola perniagaan yang sistematik serta peluang-peluang perniagaan dan pinjaman melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).


Menyedari kepentingannya, Persatuan Kebajikan Progresif Kota Marudu akan menganjurkan program Bual Bicara Usahawan yang dijadualkan pada 24 Oktober ini, bermula jam 7.30 pagi hingga 1 petang di GL Hotel, Kota Marudu.


Dengan tema "Membangun Usahawan MADANI", program ini disokong oleh dua agensi di bawah KUSKOP, SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), yang diterajui oleh Menterinya, Datuk Ewon Benedick.


Sesi ini akan menyaksikan taklimat dan dialog interaktif bersama para peserta yang terlibat yang memberikan maklumat terkini mengenai dunia keusahawanan dan peluang perniagaan.


Pillexson James, Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Marudu yang juga pengerusi pelaksana program, berkata beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan UPKO Kota Marudu, yang diketuai oleh Jamil Majingkin selaku Ketua Bahagian.


"Saya bersama pasukan saya akan memastikan setiap persiapan berjalan lancar agar semua yang hadir mendapat manfaat maksimum daripada program ini," ujar Pillexson.


Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama dengan agensi-agensi seperti SME Corp, INSKEN, TEKUN, Bank Rakyat, dan Institut Koperasi Malaysia.


"Matlamat kami bukan sahaja untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing tetapi juga untuk memberi inspirasi kepada generasi muda dan masyarakat Kota Marudu secara keseluruhannya," tambahnya.


Pillexson turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Ewon Benedick atas inisiatif dan usaha berterusan beliau dalam memperkasakan semangat keusahawanan dan berkoperasi, yang bukan sahaja memartabatkan rakyat Malaysia tetapi juga membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.


"Harapan saya, program-program seperti ini akan terus dianjurkan secara berkala, lebih-lebih lagi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di Kota Marudu, salah satu daripada 10 daerah termiskin di Malaysia seperti yang didedahkan oleh Kementerian Ekonomi pada awal tahun ini," katanya lagi.


Beliau juga menyatakan bahawa walaupun program pertama ini mempunyai kapasiti peserta yang terhad, pihak penganjur optimis untuk memperluaskan skala program pada masa akan datang demi manfaat seluruh rakyat Kota Marudu.

Comments


bottom of page