Memperkasakan Usahawan Wanita dalam Industri Refleksologi Di Kadamaian
3 Februari 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Seramai 13 usahawan wanita di kawasan Kadamaian menerima sumbangan katil urut ‘Mobile Spa’ untuk menambahbaik perniagaan masing-masing.
Sumbangan fasa dua itu disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.
Ewon berkata, bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyokong keusahawanan wanita, khususnya dalam bidang refleksologi dan kecantikan.
Katanya, inisiatif ini diharap dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi penerima dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
“Inisiatif ini bukan saja membekalkan kelengkapan yang diperlukan tetapi juga memberi motivasi kepada para usahawan untuk terus maju dalam industri spa, urut dan kecantikan.
“Usaha ini juga selari dengan visi KUSKOP dalam memperkasakan wanita usahawan serta membantu mereka memperluaskan perniagaan dalam sektor perkhidmatan spa dan refleksologi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada penerima di Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Skyblue Piasau Kota Belud, semalam.
Ewon berkata, dengan adanya program seperti ini, lebih ramai usahawan luar bandar berpeluang untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.
Sementara itu, pemilik J.Aaisyah Beauty Salon, Caroline Carol Doruan berkata, katil urut yang diterimanya akan memperkukuhkan lagi perniagaannya.
Katanya, kemudahan ini sudah pasti dapat memberikan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan setia.
Bagi Flora Dingkim dari Kampung Rangalau, berkata, sebagai seorang suri rumah dan juga ibu kepada empat anak, bantuan ini merupakan satu rezeki yang amat dihargai.
Katanya, selain menjalankan perniagaan menyewakan pakaian tradisional dan mengurus pendakian gunung di Sabah, dia turut menawarkan perkhidmatan urut secara sampingan.
“Sumbangan ini akan membantu menjana pendapatan tambahan untuk keluarga saya,” katanya.
Seorang lagi penerima bantuan, Everlyn Tetronella berkata, peralatan ini amat membantu dalam meningkatkan perkhidmatannya sebagai pengusaha spa dan urut secara sambilan.
Katanya, ia membantu menambah baik mutu perkhidmatannya kepada pelanggan dan seterusnya menjana pendapatan tambahan.
Comments