top of page

Menara MPS Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Pusat Bandar Sandakan 

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read



15 April 2025


KOTA KINABALU: Menara Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), yang terletak di kawasan pusat bandar Sandakan, merupakan aset strategik berpotensi untuk dijadikan pemangkin pertumbuhan ekonomi di pusat bandar Sandakan.


Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasneh berkata, beberapa langkah telah dan akan diambil bagi memperkasakan bangunan ini, antaranya mengoptimumkan penggunaan bangunan berkenaan.


Katanya, MPS sedang mengkaji model pengurusan aset yang lebih sesuai dan berkesan, iaitu Model Sewa Pajakan (Lease Model) atau Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk memaksimumkan penggunaan ruang bangunan serta menjadikan bangunan ini sebagai pusat ekonomi jangka panjang dengan pelaburan swasta.


"Menarik pelaburan dan penyewaan ruang, menawarkan pakej sewaan yang kompetitif kepada syarikat korporat atau para pelabur bagi menjadikan bangunan ini sebagai pusat komersial utama.


“Menjalin kerjasama dengan sektor swasta dalam membangunkan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih menarik serta menaik taraf infrastruktur dan kemudahan," katanya pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kelmarin.


Beliau menjawab pertanyaan Datuk Poon Ming Fung @ Frankie (DAP-Tanjong Papat) mengenai langkah Kerajaan Negeri dalam memperkasa Menara MPS bagi menjadikannya aset produktif kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menarik lebih banyak aktiviti ekonomi.


Isnin berkata, kementeriannya sedang dan akan menaik taraf kemudahan asas seperti sistem perparitan, pemasangan CCTV, pencahayaan dan keselamatan di kawasan persekitaran pusat bandar Sandakan, termasuk kawasan bangunan Menara 11 tingkat milik MPS.


"Menjana pendapatan tambahan untuk MPS. Selain pendapatan daripada sewaan bangunan Menara MPS, pihak MPS boleh menjana hasil melalui hak pengiklanan di ruang papan iklan Menara MPS," katanya.


Justeru itu, katanya, kementeriannya mengharapkan usaha MPS, di bawah pentadbiran Presiden yang baharu serta pegawai pengurusan MPS yang komited, seperti yang telah dirancang untuk memperkasakan bangunan Menara MPS sebagai aset produktif dengan meningkatkan kadar penggunaan, menarik lebih banyak aktiviti ekonomi serta memastikan bangunan ini memberi pulangan optimum kepada MPS.


"Langkah-langkah ini akan menjadi salah satu pemangkin kepada usaha menghidupkan kembali pusat bandar Sandakan sebagai Central Business District (CBD) yang berfungsi sebagai hub ekonomi yang lebih dinamik dan berdaya saing," katanya.

コメント


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page