top of page
nabalunews

Menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah: Pendekatan Ewon sejak dahulu



15 Oktober 2024


KOTA BELUD: Menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah menjadi pendekatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick sejak dulu.


Sebagai seorang yang sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab untuk kesejahteraan dan pembangunan masyarakat di Kadamaian, pendekatan ini memperlihatkan keprihatinan Ewon dalam membantu masyarakat setempat serta komitmen beliau untuk terus menjadi sebahagian daripada penyelesaian pelbagai isu yang dihadapi penduduk Kadamaian.


Pada Isnin, Ewon melalui Pemaju Masyarakat di Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, menyampaikan sumbangan ‘touchpoint’ ADUN kepada Sekolah Rendah Mangkulat, Kadamaian, Kota Belud bagi menampung kos pelaksanaan Program Hari Sukan Negara sekolah berkenaan yang dijangka diadakan pada 16 Oktober ini.


Sekolah Rendah Mangkulat diwakili oleh Cikgu Primus Kendely, Penolong Kanan Kokurikulum merangkap penyelaras Program Hari Sukan Negara sekolah berkenaan.


Pada masa yang sama, Pegawai Kemajuan Masyarakat Kadamaian, Juin Kolod, turut menyampaikan sumbangan ‘touchpoint’ kelahiran, mewakili Ewon kepada adik Fryenz Bliken Fidru, yang diwakili oleh ibunya dari Kampung Gaur, Kadamaian, Kota Belud.


Clarence dan Juin turut menyampaikan salam daripada Ewon serta mengucapkan tahniah kepada kedua-dua penerima.


Mereka menegaskan bahawa pendekatan Ewon dalam menyelesaikan masalah komuniti telah lama menjadi pegangan beliau sejak dari dulu.


Penyampaian sumbangan ini juga mencerminkan usaha berterusan Ewon dalam memperkasakan komuniti melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.


Sentuhan peribadi dalam menyelesaikan masalah rakyat memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, sekaligus memastikan kebajikan rakyat terus terjamin.


Dengan pendekatan yang inklusif ini, Ewon bukan sahaja dikenali sebagai pemimpin yang prihatin tetapi juga sebagai seorang yang sentiasa komited dalam menggalas tanggungjawab untuk kesejahteraan dan pembangunan masyarakat Kadamaian.

Comments


bottom of page