top of page

Mesyuarat PDM Lasau Kota Belud Berjalan Lancar, Fokus Isu Politik dan Pembangunan

nabalunews

12 Mac 2025


Oleh : Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Mesyuarat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lasau Kota Belud bagi Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berlangsung dengan jayanya, dihadiri oleh ketua-ketua cawangan, pergerakan wanita, pemuda, dan generasi muda (GEM).


Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua PDM Lasau, Somuil Rasat, yang juga merupakan Ketua Cawangan UPKO Kampung Lasau Minunsud.


Turut hadir sebagai pemerhati ialah Timbalan Ketua Bahagian (TKB) UPKO Kota Belud, Carlye Lajimin serta Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran.


Antara agenda utama mesyuarat ialah perbincangan mengenai isu semasa politik, perancangan pembangunan kawasan PDM Lasau, serta kebimbangan mengenai siapa yang bakal menjadi wakil calon UPKO Kadamaian dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).


Dalam sesi soal jawab, Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame, menegaskan bahawa Pemuda Kota Belud komited dalam menjalankan program belia bagi memastikan anak muda sentiasa terlibat dalam aktiviti bermanfaat. Beberapa program sukan seperti bola sepak, badminton, dan sepak takraw telah dirancang untuk dilaksanakan di PDM Lasau tahun ini.


Beliau turut meminta Ketua PDM Pemuda Lasau, Clarence Somuil, untuk menyusun jadual program tersebut agar berjalan dengan lancar. Jolyhame juga menekankan bahawa program Pemuda bukan hanya untuk belia lelaki tetapi juga melibatkan beliawanis.


"Sebagai contoh, pada tahun 2024, perlawanan bola sepak wanita telah diadakan, menunjukkan usaha UPKO dalam menggalakkan penyertaan wanita dalam aktiviti sukan dan belia." ujar beliau.


Manakala, Ketua Penaja Cawangan UPKO Kampung Piak, Carlvin Mastan, menyatakan bahawa pihaknya tetap memilih UPKO sebagai platform perjuangan politik walaupun mendapat tawaran daripada pemimpin parti lain.


Beliau turut berterima kasih kepada Ewon atas sumbangan dan usaha beliau dalam pembangunan Kampung Piak.


Carlvin menyeru semua pemimpin cawangan untuk menggunakan media sosial bagi menyebarkan maklumat mengenai kerja-kerja pembangunan yang telah dijalankan oleh Ewon.


Sementara itu, Ketua Cawangan UPKO Kampung Lasau Lama, Judin Roslan, menekankan kepentingan jentera parti PDM Lasau untuk bersatu padu menghadapi PRN-17.


Beliau mengingatkan bahawa walaupun Ewon sudah dua kali bertanding dan menang di Kadamaian, PDM Lasau masih kalah tipis dalam jumlah undian sebelum ini. Namun, Ewon tidak pernah mengabaikan pembangunan di PDM Lasau, walaupun mengetahui kawasan itu mempunyai pola undian yang berbeza-beza.


Judin menyeru agar PDM Lasau bekerja lebih keras kali ini untuk memastikan kemenangan UPKO di kawasan tersebut. Baginya, tiada alasan untuk tidak menyokong UPKO, terutama dengan segala usaha pembangunan yang telah dijalankan.


Semua isu dan persoalan yang dibangkitkan dalam mesyuarat telah diterangkan dengan jelas oleh TKB Bahagian Kota Belud untuk memastikan bahawa setiap pemimpin UPKO di PDM Lasau mendapat gambaran penuh dan maklumat yang sahih. Ini bagi memudahkan mereka dalam memberikan penerangan kepada komuniti masing-masing.


Untuk rekod, PDM Lasau mempunyai 10 cawangan iaitu, Cawangan Lasau Minunsud,

Kampung Katol, Kampung Lasau Lama, Kampung Lasau Podi, Kampung Piak, Kampung Bundu Lapak, Kampung Takulung, Kampung Gonok, Kampung Lompios, dan Kampung Wani.


Dengan semangat kesepaduan yang ditunjukkan dalam mesyuarat ini, UPKO PDM Lasau bersedia untuk menghadapi PRN-17 dengan penuh keyakinan dan strategi yang lebih tersusun.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page