Mesyuarat Pertama Wanita UPKO fokus Pelaksanaan Program Ramah Mesra PDM dan Sentuhan Kasih

10 Mac 2025
Oleh : Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Mesyuarat pertama Pergerakan Wanita UPKO Bahagian Kota Belud bagi tahun 2025 telah diadakan pada 9 Mac 2025 di Dewan Pusat Khidmat Adun N11 Kadamaian.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Datin Saniah Tuak, Ketua Wanita Bahagian Kota Belud dan Ahli Jawatan Kuasa Wanita United Progressive Kinabalu Organisation (UPKO).
Seramai 29 orang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) hadir untuk membincangkan pelaksanaan program-program yang dirancang, termasuk Program Ramah Mesra PDM dan Program Sentuhan Kasih.

Mesyuarat ini menumpukan kepada pelaksanaan Program Ramah Mesra PDM yang masih belum selesai di beberapa kawasan. Datin Saniah Tuak menegaskan komitmen Wanita UPKO untuk menyelesaikan program ini pada tahun 2025.
“Walaupun terdapat beberapa cabaran, seperti kesibukan dalam keluarga ahli-ahli, kita tetap berazam untuk melaksanakan program ini dengan jayanya,” ujar Datin Saniah.
Dalam tinjauan yang dilakukan, Program Sentuhan Kasih dikenal pasti sebagai salah satu kegiatan yang paling berkesan dalam menyentuh hati rakyat. Wanita UPKO juga berhasrat untuk menambah aktiviti yang dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran para wanita, agar mereka dapat memajukan diri dengan pelbagai kemahiran baharu.

Mesyuarat turut menggalakkan ahli-ahli Wanita UPKO untuk mengikuti kandungan media rasmi #EwonBenedickOfficialMedia di aplikasi TikTok. Platform ini dilihat sebagai salah satu media sosial yang paling digemari pada masa kini, dan penggunaannya diharapkan dapat membantu menyebarkan maklumat mengenai aktiviti dan program di bawah Kementerian beliau kepada masyarakat yang lebih luas.
“Kita perlu memanfaatkan platform seperti TikTok untuk menyebarkan maklumat dan menarik minat lebih ramai orang untuk menyertai aktiviti kita,” tambah Datin Saniah.
Mesyuarat pertama ini berjaya merangka strategi dan komitmen untuk melaksanakan program-program yang dirancang, dengan harapan dapat memberi impak positif kepada masyarakat serta ahli Wanita UPKO Bahagian Kota Belud.
Comments