top of page
nabalunews

META perlu proaktif perangi jenayah pedofilia – Fahmi

30 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI komited dalam memastikan platform media sosial bertindak tegas dalam menangani jenayah dalam talian bagi mewujudkan persekitaran Internet yang lebih selamat untuk semua, terutama sekali bagi kanak-kanak dan keluarga, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.


Dalam pertemuan bersama wakil Meta petang semalam, Fahmi menegaskan bahawa beliau telah menegur syarikat tersebut kerana masih belum berjaya menangani isu serius seperti jenayah pedofilia dan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming), terutamanya di platform Facebook.


Beliau menggesa Meta untuk memperkukuh langkah-langkah keselamatan bagi melindungi pengguna muda daripada ancaman siber yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.


“Meta perlu jauh lebih proaktif dalam membanteras kumpulan-kumpulan di akaun media sosial Meta yang menjurus kepada aktiviti jenayah seksual tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Pertemuan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, serta Pengarah Dasar Awam Meta Asia Tenggara Rafael Frankel dan pasukan Meta.


Menurut Fahmi, perbincangan yang diadakan berkisar kepada kesiapsiagaan semua pihak bagi penguatkuasaan pelesenan platform media sosial dan sistem pemesejan Internet bermula 1 Januari 2025.


Katanya pihak Meta menyuarakan pandangan mengenai pematuhan yang perlu dipenuhi untuk melaksanakan syarat-syarat ditetapkan, termasuk Kod Tatalaku dan Akta Keselamatan Dalam Talian belum mereka teliti sepenuhnya.


“Saya telah mengingatkan Meta bahawa niat kerajaan mengenakan lesen ini adalah untuk menangani isu jenayah yang berhijrah ke media sosial, termasuk jenayah penipuan, judi dalam talian, buli siber, dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.


“Namun, saya memberi komitmen untuk mendengar pandangan semua platform media sosial, memandangkan lesen yang bakal dikenakan adalah lesen kelas (Class License),” katanya.


Selain itu, lesen berkenaan dikenakan kepada semua platform yang memenuhi syarat-syarat termasuk yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia.


Beliau berkata pihak Meta telah bersetuju untuk menyediakan maklum balas kepada draf Kod Tatalaku yang telah diterbitkan pada 22 Okt lepas dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan MCMC pada awal minggu depan untuk meneliti beberapa aspek dengan lebih terperinci.


“Saya terima baik kesediaan pihak Meta untuk terus bekerjasama dalam isu pelesenan ini,” kata Fahmi.

Comments


bottom of page