top of page

MIDE perhebatkan usaha tarik pelaburan secara agresif tahun ini

nabalunews

Phoong (tengah) dan Thomas serta pegawai kanan MIDE mengaul `yee sang' tradisi sempena Tahun Baru Cina

24 Jan 2025


Oleh: Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan merupakan antara inisiatif yang dititikberatkan dan diberi penekanan tahun 2025.


Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Zin Zhe berkata, seluruh warga Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) diharap dapat berganding bahu bagi memantapkan lagi usaha itu.


Katanya, ia termasuk agensi di bawah kementerian khususnya Invest Sabah Berhad yang digesa memperhebatkan lagi usaha menarik pelaburan secara agresif tahun ini.


"Tumpuan harus diberikan kepada pelaburan yang berimpak tinggi dan usaha untuk memperluaskan aktiviti hiliran dalam sektor pembuatan di negeri ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MIDE 2024 MIDE, di sini, semalam.


Turut hadir Setiausaha Tetap MIDE, Datuk Thomas Logijin.


Phoong berkata, pewujudan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sabah di Singapura (STTOS) perlu dimanfaatkan sepenuhnya.


Katanya, ia menjurus kepada usaha mempromosikan Sabah sebagai sebuah destinasi pilihan utama terutamanya syarikat antarabangsa dan multinasional yang berpangkalan di Singapura.


“STTOS adalah jambatan strategik antara Sabah dan Singapura bagi memperkukuhkan lagi hubungan dagang antara pemain industri tempatan dengan syarikat di Singapura.


"STTOS telah membawa kejayaan melalui kemasukkan Syarikat Makanan Ringan tempatan ke pasaraya di Singapura dan menghasilkan pendapatan tahunan mencecah RM250,000," katanya.

Menurutnya, STTOS juga berjaya menganjurkan tiga siri roadshow yang mensasarkan kawasan utama dan berpenduduk padat di Singapura untuk promosi menggalakkan lawatan dan perjalanan ke Sabah.


Selain itu, katanya STTOS juga telah bekerjasama dengan Pejabat Sarawak di Singapura untuk menganjurkan acara Borneo Fest serta menyertai Singapore Business Show yang mempamerkan Sabah sebagai destinasi pelaburan.


“Dalam acara penting itu, Surat Perjanjian (SP) telah ditandatangani antara KATC dan Drone Dash Technologies dengan potensi pelaburan sebanyak RM300 juta untuk industri dron di Sabah.


"Saya berharap STTOS terus melipatgandakan usaha dalam menyelaras dan memudahcara cadangan pelaburan ataupun urusan dagang ke Sabah," katanya.


“Ia juga selaras dengan gesaan Ketua Menteri agar MIDE meneroka Industri Ekonomi Biru. Oleh demikian saya menyeru kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) untuk memberi tumpuan kepada perancangan bagi mewujudkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat pada tahun ini.


"Saya juga menggesa agar pelaburan Syarikat Esteel di Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP) diberi perhatian khusus untuk memastikan syarikat tersebut dapat memulakan pembinaan kilangnya dalam tempoh terdekat.


“Kejayaan ini kelak akan meningkatkan lagi nilai hasil pelaburan sektor perindustrian di negeri Sabah," katanya.


Sementara itu Phoong berkata, misi pelaburan ke luar negara akan diteruskan untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan dan perdagangan di Sabah kepada pelabur asing.


Katanya, misi pelaburan keluar negara pada tahun ini akan tertumpu ke negara-negara seperti China, Korea Selatan, Jepun dan sekitarnya.


"Ia bagi meneruskan program mempromosi dan memasarkan produk Sabah ke pasaran Antarabangsa.


“Untuk itu, kementeriannya akan menyertai beberapa Ekspo Perdagangan Antarabangsa pada tahun ini dan antara destinasi yang dikenal pasti adalah Gulfood Dubai di Emiriah Arab Bersatu (Februari 2025), FHA Food & Beverage, Singapura (April 2025), HK Convention & Exhibition Centre, Hong Kong (Mei 2025), WOFEX Mindanao, Filipina (Mei 2025), Thaifex di Bangkok, Thailand (Mei 2025), dan Interfood Jakarta, Indonesia (November 2025),” katanya.

Comments


bottom of page