Miliki pisau di tempat awam, lelaki dipenjara 5 tahun 1 sebatan
28 November 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Seorang lelaki yang memiliki sebilah pisau di tempat awam tanpa alasan yang sah dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun dan sekali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Sandakan pada Rabu.
Tertuduh, Iwan Tumin, 27, mengaku melakukan kesalahan itu pada 19 November lalu kira-kira jam 12.05 tengahari di kawasan letak kereta Kompleks Kesihatan, Batu 7, Sandakan.
Pisau berukuran kira-kira 23cm itu ditemui diselitkan di pinggangnya.
Iwan mengaku bersalah di hadapan Hakim, Zaini Fishir @ Fisal selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun dan sebat.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Muhammad Al-Hakim Abdul Razak.
Comments