top of page
nabalunews

Misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) di Filipina: : TUDM teruskan penghantaran bantuan logistik di bandar Legazpi

28 Oktober 2024


FILIPINA: Pesawat helikopter EC 725 AP Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan meneruskan misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) hari kedua dengan penghantaran 1.3 tan tarpaulin kanvas untuk kegunaan penempatan sementara bagi mangsa-mangsa yang terkesan akibat Taufan Tropika Kristine (Trami), di kawasan Bandar Legazpi, Bicol, hari ini.


Barangan bantuan itu telah diterbangkan dari Pangkalan Udara Villamor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol.


Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam TUDM, semasa melaksanakan misi tersebut, keadaan cuaca adalah baik pada waktu pagi.


Manakala pada sebelah petang cuaca agak berjerebu dan menyebabkan jarak penglihatan agak terhad selain tiupan angin yang kencang.


Namun, dengan kepakaran dan pengalaman yang ada pada setiap anak kapal pesawat EC 725 AP telah memastikan mereka berjaya melaksanakan misi tersebut.


Pesawat telah dikendalikan oleh Mejar Aslam Hariri TUDM serta dibantu oleh Kapt Fikry TUDM selaku pembantu juruterbang bersama seorang kuartermaster udara, tiga (3) anggota teknikal dan seorang anggota PASKAU.


Ketua Staf Angkatan Tentera Filipina, Jeneral Romeo Saturnino Brawner Jr. Sorti turut meluangkan

masa melawat pasukan TUDM, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Udara Diraja

Brunei (TUDB) semasa melaksanakan penugasan misi HADR pada hari ini.

Comments


bottom of page