Misi berjalan kaki Sandakan ke Tawau sejauh 330km
19 Disember 2024
Oleh : Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Dua penggemar sukan lasak di sini sekali lagi melaksanakan misi berjalan kaki rentas negeri dan kali ini sejauh 330km dari Sandakan ke Tawau bermula Selasa lalu.
Sebelum ini, Ruslie Jokulon, 56 dan Mohd Al Nizam Nazri, 33, telah berjaya menamatkan misi berjalan kaki dari Kota Kinabalu ke Sandakan yang turut menelurusi perjalanan Sandakan-Ranau atau laluan maut (Sandakan Death March) baru-baru ini bersama seorang lagi rakan mereka, Suhaimie Suman, 62, yang tidak menyertai misi ke Tawau pada kali ini.
Hari ini, selepas hari ketiga, Ruslie yang juga dikenali sebagai Coach Lie dan Nizam sedang dalam perjalanan menuju ke daerah Kinabatangan selepas berehat di Batu 16 dan Batu 31 pada Selasa dan Rabu lalu.
Mereka akan berjalan sejauh 30km dalam sehari dan akan singgah dimana-mana lokasi jika cuaca tidak mengizinkan dan pada waktu malam.
Mereka menganggarkan akan tiba di Tawau pada atau sebelum ambang tahun baru 2025 di mercu tanda Tawau.
Misi berjalan kaki Kembara Pantai Timur ini dijangka tamat pada hari ke-15 selepas bermula.
Dalam pada itu, Lie menerusi facebook beliau juga merakam penghargaan kepada semua yang memberi mereka sokongan serta sepanjang perjalanan mereka itu.
Comments