top of page
  • Wartawan Nabalu News

Misi Perniagaan Francais Malaysia di Jakarta sasar RM30 juta pelaburan



11 Jun 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM30 juta melalui Misi Khas Perniagaan Francais Malaysia yang diadakan di Jakarta, Indonesia.

 

Dalam satu kenyataan, KUSKOP memaklumkan bahawa misi ini bertujuan mempromosikan jenama francais tempatan Malaysia dan menembusi pasaran Indonesia, yang mempunyai potensi besar dengan jumlah penduduk seramai 281 juta orang.

 

“Ia turut menyaksikan program padanan dan mesyuarat perniagaan antara syarikat Malaysia bersama pelabur dan usahawan tempatan Indonesia bagi kerjasama perniagaan,” menurut kenyataan tersebut lapor RTM.

 

Usaha ini selaras dengan hasrat dan kerangka visi Malaysia MADANI di bawah tonggak nilai ‘kesejahteraan’ yang membawa makna keseimbangan kehidupan bagi memeta hala tuju Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera.

 

Menurut kenyataan itu lagi, misi empat hari yang bermula semalam ini merupakan kolaborasi kementerian bersama Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

 

Misi tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Noor Afifah Abdul Razak dan disertai oleh wakil daripada Persatuan Francais Malaysia serta 11 syarikat francais Malaysia. Antara syarikat yang mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka adalah Marrybrown, Mokti’s, Tea Garden, D’Tandoor, HOME Maths Therapy, IrisPro, Little Caliphs, Muzart, Smart Reader Kids, UCMAS, dan FatNinjas.

Comments


bottom of page