top of page
nabalunews

Misi PM Anwar Tingkatkan Perdagangan Dan Pelaburan ASEAN Sebagai Pengerusi ASEAN




26 November 2024


KUALA LUMPUR: Meningkatkan perdagangan dan pelaburan ASEAN menjadi misi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025.


Sehubungan itu, Anwar berkata beliau akan menumpukan usahanya untuk memperkasakan Grid Tenaga ASEAN dan terus mempergiatkan usaha ke arah pendigitalan yang lebih menyeluruh dalam kalangan negara serantau.


Beliau juga akan menumpukan usahanya sebagai pengerusi perkumpulan serantau itu untuk mengukuhkan hubungan dengan rakan tradisional ASEAN yang terdiri daripada negara-negara maju iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.


Inisiatif ini akan menjadi tumpuan utama beliau untuk menjadikan Asia Tenggara sebuah rantau ekonomi yang lebih berdaya maju, kata Perdana Menteri.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan khas bertajuk "Strategic Partners in a Complex World: Malaysia, Korea, and the Future of Asia" di Seoul National University, pada Selasa, lapor Bernama.


Anwar berkata pendekatan sedemikian penting kerana ASEAN merupakan rantau ekonomi yang paling aman dan dinamik di dunia yang potensi ekonominya perlu direalisasikan sepenuhnya.


Oleh itu, beliau berkata mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun depan adalah tepat pada masanya berikutan negara berada dalam kedudukan yang baik untuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan serantau.


Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kerjasama dan hubungan kerja antara 10 pemimpin ASEAN juga amat baik, sesuatu yang memberikan kelebihan untuk membuat keputusan yang dicapai secara bersama dan meningkatkan hubungan perdagangan kepada tahap yang lebih tinggi.


Dalam bekerjasama dengan China, Jepun dan Korea Selatan, beliau berkata Korea Selatan adalah rakan tradisional yang penting dan Seoul juga telah mencapai kejayaan yang besar.


Anwar menekankan bahawa dengan lebih banyak penglibatan dengan ketiga-tiga negara ini berdasarkan persahabatan dan kepercayaan, ASEAN akan lebih mampu untuk menangani isu-isu yang lebih rumit.


Menegaskan bahawa Malaysia bertuah kerana menjadi pilihan kepada syarikat antarabangsa utama seperti Oracle, AWS, Google, Microsoft, Nvidia dan Infineon, negara telah menjadi hab kepada aktiviti perniagaan mereka.


Ini telah membolehkan Malaysia menjadi pusat serantau untuk data dan kecerdasan buatan (AI).


Selain itu, ini turut menjadikan Malaysia sebagai hab utama untuk sektor semikonduktor global.


“Kelebihan kita telah membolehkan negara menjalin hubungan ekonomi dengan pelbagai negara (seperti) Amerika Syarikat, Eropah, China, Korea Selatan dan Jepun,” kata beliau.

Comments


bottom of page