MITI komited perkasa industri reka bentuk Malaysia
13 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Industri reka bentuk Malaysia bakal menjadi komponen penting dalam agenda pembangunan negara dengan komitmen berterusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memperkasakannya melalui pelbagai inisiatif strategik.
Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong, menegaskan bahawa industri ini perlu memfokuskan pada penghasilan produk bermutu tinggi, terutamanya produk buatan dan reka bentuk tempatan.
"Sudah tentu kita mahu menghasilkan lebih banyak produk buatan Malaysia atau 'Made in Malaysia', tetapi kita juga berminat dengan produk yang direka bentuk di Malaysia.
"Sebagai contoh, kita mempunyai industri perabot untuk eksport. Industri perabot kita sebenarnya mempunyai nilai eksport yang tinggi," katanya ketika berucap pada majlis Dialog MRM-Industri dan Penyampaian Sijil Certified Industrial Designer 2024 di sini.
Menurut Liew, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah strategik untuk menyokong bidang reka bentuk, termasuk penetapan piawaian kompetensi profesional, pemberian geran inovasi kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta usaha meningkatkan modal insan melalui kerjasama dengan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
Beliau turut menyeru pereka industri tempatan untuk mengambil peluang menyertai Ekspo Dunia Osaka 2025 dan Kepengerusian ASEAN 2025.
Comments