Monsun Timur Laut diramal bermula Selasa ini
2 November 2024
KUALA LUMPUR: Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 atau musim tengkujuh, dijangka bermula pada hari Selasa dan berterusan sehingga Mac tahun hadapan.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, memaklumkan bahawa MTL kali ini diramalkan akan membawa antara lima hingga tujuh episod hujan lebat.
"Fasa awal MTL dalam masa dua bulan ini mengakibatkan episod hujan lebat yang dijangka melanda Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
"Pada Januari dan Februari, episod hujan lebat lebih berpotensi melanda Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
"Sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri lain," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mohd Hisham berkata, hujan lebat berterusan untuk beberapa hari boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko banjir boleh menjadi lebih ekstrem.
"Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora serta berisiko mengakibatkan kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan," katanya.
Menjelang fasa akhir MTL iaitu Januari hingga Mac, katanya, kawasan utara Semenanjung Malaysia dijangka mengalami kurang hujan.
"Ini akan menyebabkan cuaca panas dan kering serta berpotensi berlaku gelombang haba.
"Bagaimanapun, keadaan diramalkan tidak seteruk tahun ini disebabkan fenomena La Nina dijangka bermula hujung tahun ini hingga pertengahan tahun hadapan," katanya.
Beliau meminta orang ramai bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan METMalaysia melalui medium sebaran rasmi iaitu laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.
Comentarios