top of page
  • nabalunews

Mpox, 5.2 juta disaring, 46 suspek disahkan negatif

6 September 2024


JOHOR BAHRU: Sebanyak 46 kes yang disyaki suspek virus cacar monyet atau 'monkeypox' (Mpox) adalah negatif.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan Itu diperoleh hasil saringan yang dibuat ke atas 5.2 juta pengembara yang masuk ke negara ini setakat ini.


"Mutakhir ini, kita sudah saring 5.2 juta (pengembara) dan daripada jumlah itu kita dapat 46 kes suspek Mpox, namun berita gembiranya, semua negatif.


"Sehingga kini, kita belum berdepan apa-apa cabaran, semoga ia kekal begini. Terakhir, kita berdepan kes positif dalam varian clade II (dua) bukan I (satu) yang lebih ganas iaitu sembilan kes pada Disember 2023," katanya seperti dilaporkan Harian Metro.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Jalan Dhoby di sini, malam tadi.


Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.


Dr Dzulkefly berkata, sejak 16 Ogos lalu,

Kementerian Kesihatan sudah bersiap sedia terutamanya di pintu-pintu masuk sempadan negara.


Dalam lawatan ke Johor, beliau turut memantau operasi di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bagi memastikan semua langkah kesiapsiagaan sudah diletakkan.


"Kita sudah mengambil langkah yang wajar dan sesuai. Kita lakukan saringan di pintu-pintu masuk. Kita terus tingkatkan segala jagaan pintu masuk dari laut, udara dan antarabangsa. Ini tidak akan sebabkan kelewatan (pelepasan)," katanya.


Beliau berharap situasi Mpox di negara ini tidak dibandingkan dengan negara jiran, Singapura, bagi mengelakkan kegusaran awan.


"Jangan terlalu buat perbandingan dengan Singapura. Kita punya cabaran sendiri dan SOP (prosedur operasi standard) yang kita telah letakkan. Singapura ada kuarantin, kita tidak sampai ke tahap itu kerana kita masih lagi terkawal, tiada kes positif.


"Kita tidak mahu orang berlengah-lengah atau cuai, tetapi pada waktu sama, kita tidak mahu orang digemparkan dengan apa juga pendekatan yang boleh menggusarkan.


"Ini bukan pandemik macam Covid-19 yang berulang sehingga ada 'lock down' dan sebagainya, itu semua jangan kita bayangkan," jelasnya.

Bình luận


bottom of page