top of page
nabalunews

Mpox: Pesakit Sihat Dan Stabil, Akan Ditamatkan Tempoh Isolasi - Dr Dzulkefly


29 September 2024


PUTRAJAYA: Seorang pesakit yang disahkan positif cacar monyet atau mpox varian clade II pada 16 September lalu kini semakin sihat dan berada dalam keadaan stabil, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.


Beliau berkata individu itu menunjukkan perkembangan positif dan dalam proses menamatkan tempoh isolasi selepas disahkan positif mpox pada 16 September lalu.


“Pesakit kini dalam tempoh pengasingan (isolasi), keadaannya stabil dan sihat. Kita (Kementerian Kesihatan) akan tamatkan tempoh isolasi beliau. Kita akan beritahu (tempoh isolasi tamat),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0, 1 Hour Malaysia Clean Up dan Hari Cuci Malaysia di sini, semalam.


Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata KKM telah mengesan satu kes positif mpox varian clade II pada 16 September, yang dikesan daripada 58 kes disyaki mpox yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tahun ini.


Dr Dzulkefly berkata tiada kes baharu mpox dalam negara direkodkan setakat ini, dan berhubung vaksin penyakit itu pula, pihaknya sedang menunggu ketibaan bekalan vaksin MVA-BN, yang dikhususkan kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk petugas kesihatan serta kontak rapat kes yang disahkan.

Comentários


bottom of page