MPS sedia terima aduan awam untuk kesejahteraan bersama

16 Mac 2025
SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sedia untuk menerima aduan awam untuk kebaikan dan kesejahteraan bersama.
Presiden MPS, Walter Kenson berkata, menerusi lawatan yang diadakan baru-baru ini, ia bagi memahami dan melihat sendiri isu kebersihan serta masalah infrastruktur di kawasan berkenaan.
Katanya, ia sudah menjadi keutamaan untuk memastikan kebersihan bandar kerana ia adalah keperluan asas yang diharapkan masyarakat.
“Rakyat juga ada hak sama dalam menyuarakan perkara ini kerana ia juga merupakan tanggungjawab MPS.
“Kita perlu mencapai tahap yang memenuhi harapan rakyat. Kita tidak mahu gagal melaksanakannya hingga menjadi bahan cemuhan kerana ia memberi imej negatif kepada kerajaan dan ini yang saya mahu elakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke Bandar Ramai-Ramai, di sini bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin pada Jumaat.
Sementara itu, George turut merakam penghargaan atas kehadiran Walter pada sesi lawatan itu dan berharap tindakan sewajarnya akan diambil dalam menangani isu kebersihan dan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau akan melakukan lagi lawatan seperti ini bersama Presiden MPS pada sesi akan datang di kawasan lain di Karamunting.
“Hari ini kita mulakan di Bandar Ramai-Ramai, dan selepas ini kita akan ke kawasan lain di Karamunting seperti Bandar Nam Tung dan Bandar Leila.
“Sedikit demi sedikit, kita akan pastikan masalah di semua kawasan diberi perhatian dan diselesaikan,” katanya.
Comentarios