top of page
nabalunews

MRS agih royalti sebanyak RM85,186.16 kepada ahli




6 Januari 2025


KOTA KINABALU: Sebanyak RM85,186.16 royalti muzik telah diagihkan oleh Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO), Music Rights Sabah Berhad (MRS) kepada ahlinya, hari ini.


Royalti muzik berkenaan yang dikutip sepanjang tempoh bermula 1 Jun 2023 sehingga 31 Mei 2024 adalah bagi kutipan persembahan awam dalam acara, yang melibatkan penggunaan muzik etnik tempatan Sabah dan Labuan di seluruh Malaysia.


Pengarah Urusan MRS, Mohd Ashraf Abdullah berkata, pengagihan dibuat hari ini bagi menunaikan tanggungjawab dan peranan syarikat berkenaan dalam menjaga hak ahlinya terutama dari segi tuntutan royalti muzik masing-masing.


"Seramai 262 orang ahli terdiri daripada penggiat seni seperti komposer, penulis lirik, penyanyi, pemuzik, penggubah muzik, pembikin video muzik dan syarikat rakaman selaku penerbit menerima royalti masing-masing bermula hari ini." Tambah Ashraf.


Laporan pengagihan royalti muzik MRS tahun 2025 menyaksikan peningkatan sebanyak 42.59 peratus jika dibandingkan dengan royalti muzik sebanyak RM59,741.62 yang diagihkan pada Januari 2024, bagi persembahan awam (acara) untuk kutipan yang dibuat dalam tempoh yang sama.


Menurut Ashraf lagi, pengagihan royalti muzik yang seterusnya akan dibuat dalam bulan September 2025 nanti, iaitu melibatkan kutipan bagi persembahan awam (penyiaran) iaitu bagi penggunaan lagu-lagu yang disiarkan di radio-radio RTM seperti Sabah FM, Sabah VFM, Keningau FM, Sandakan FM, Tawau FM dan Labuan FM, selain siaran TV milik RTM.


Ini menyaksikan MRS akan membuat pengagihan sebanyak dua kali pada tahun 2025 ini.


"Bagi pihak ahli MRS, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar-pembayar royalti muzik etnik tempatan di sepanjang tempoh operasi kutipan yang dibuat, semoga sokongan sedemikian dapat diteruskan lagi." Ujar Ahsraf yang juga Pengarah Lembaga MRS.


Dalam satu perkembangan berkaitan, bermula Januari 2025 ini, MRS akan menjalankan operasi kutipan pelesenan bagi outlet dan premis perniagaan di negeri ini terutama yang ada melibatkan penggunaan lagu-lagu etnik tempatan.


MRS turut berharap agar pengguna terutama pemilik outlet dan premis perniagaan memberi sokongan moral dan kerjasama kepada MRS dalam usaha memupuk kesedaran hak cipta muzik terutama melibatkan muzik etnik tempatan Sabah dan Labuan, serta membina jaringan ekosistem muzik tempatan Sabah dan Labuan dalam kalangan pemilik hak cipta dan pengguna muzik.


"Kepada pengguna yang ingin memohon skim pelesenan hak cipta muzik daripada MRS, boleh menghubungi Pengurus Operasi Pelesenan MRS, Ronney Ajim di talian 010 - 425 4557."

Comments


bottom of page