MUDA kini parti politik sah
29 Disember 2021 Oleh Farah Salim KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) telah didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (Ros) pada Khamis lalu (23 Disember). Perkara ini diumumkan oleh presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melalui ciapan Twitternya, hari ini. “MUDA sudah lulus. Hari jadi MUDA pada 23 Disember 2021!! “Maaf tidak maklumkan lebih awal kerana kita mahu fokus pada misi banjir,” katanya. Di dalam satu sidang media secara maya hari ini, Ahli Parlimen Muar itu turut menjelaskan bahawa pengumuman itu dilambatkan agar tidak menenggelami berita-berita berkaitan banjir. “MUDA ini parti yang berkhidmat dan keutamaan kita adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan masyarakat. Kita tidak ingin krisis banjir ditenggelamkan dengan berita politik iaitu pendaftaran MUDA. "Sebab itu kita mengambil ketetapan untuk fokus (bencana banjir) dahulu, kita pun berada di seluruh Malaysia untuk misi banjir bagi meringankan beban rakyat,” ujarnya. Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan bahawa MUDA bukan parti yang bermotifkan politik balas dendam dan merebut kuasa. Sebaliknya, parti itu adalah untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju tanpa mengetepikan rakyat berbilang bangsa dan agama. Setakat hari ini, MUDA mempunyai lebih 60,000 ahli berdaftar dari pelbagai peringkat umur, di mana yang paling tua adalah individu berusia 84 tahun. "Mereka adalah ibu bapa yang mahukan masa depan yang cerah untuk anak mereka, datuk dan nenek yang mahukan cucu mereka mewarisi negara Malaysia yang inklusif, sederhana dan maju.”
Comments