top of page
Farah Salim

MUDA tanding 6 kerusi PRN Johor hasil rundingan AMANAH, DAP


9 Februari 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hasil rundingan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP Johor.


Keputusan berkenaan adalah hasil rundingan yang dikeluarkan dalam satu kenyataan bersama oleh MUDA, AMANAH, dan DAP hari ini.


“Setelah siri-siri mesyuarat dan perbincangan pelbagai hala dilakukan, keputusan rundingan rasmi antara semua parti ini telah sebulat suara dimuktamadkan.


“Kesepakatan antara tiga parti tersebut memutuskan bahawa parti MUDA akan bertanding di kerusi DUN N.5 Tenang, N.7 Bukit Kepong, N.22 Parit Raja, N.26 Machap, N.41 Puteri Wangsa dan N.50 Bukit Permai,” kata kenyataan itu.


Dalam pada itu, rundingan rasmi tersebut juga telah bersetuju dengan tiga matlamat utama iaitu memastikan tidak ada pertindihan kerusi antara calon ketiga-tiga parti di setiap kawasan; menumpukan usaha dan tenaga kerja jentera diantara ketiga-tiga parti untuk memenangi setiap calon; dan bersama-sama menubuhkan Kerajaan Negeri Johor.


“Ini bermakna, bagi menghadapi PRN Johor, AMANAH, DAP dan MUDA bakal bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun MUDA tidak menyertai Pakatan Harapan.


“Ini serasi dengan prinsip ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan semua parti politik dan menggembleng tenaga yang bersedia melawan kerajaan BN/PN.


“Selain itu, para pimpinan ketiga-tiga parti percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin menerusi rundingan ini akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang selaras dengan agenda Johor Bangkit agar PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan bukanlah perebutan kuasa dan jawatan,” kata kenyataan itu.


Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut bahawa rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN ini.


“Rakyat Johor berhak mendapat kepimpinan yang mahukan Johor Bangkit menjadi sebuah negeri yang maju, beramanah, bermaruah dan berintegriti.” kata kenyataan itu lagi.

Comentarios


bottom of page