top of page
nabalunews

Muhyiddin akui sudah hilang majoriti



13 Ogos 2021


Muhyiddin / Mahiaddin akui sudah hilang majoriti; Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan perlu diluhur.


1. Jika perutusan oleh Tan Sri Muhyiddin / Mahiaddin Yassin dengan didampingi beberapa jemaah menteri yang disiarkan tadi disiarkan sebaik beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri awal tahun lepas, rasanya tawaran bi-partisan yang dikemukakan beliau boleh masuk akal.


2. Tetapi beliau sudah hilang sokongan majoriti untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Beliau akuinya sendiri dalam perutusan tadi.


3. Semasa beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat dan sebagai Perdana Menteri, sumpah taat setia meluhurkan dan mendaulatkan Perlembagaan Persekutuan dibuat di hadapan Speaker dan Yang di-Pertuan Agong. Itulah yang beliau kena laksanakan sekarang.


4. Di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, apabila kehilangan sokongan majoriti, beliau hendaklah meletak jawatan bersama anggota jemaah menterinya atau meminta untuk membubarkan Parlimen. Itu juga disebut oleh beliau tadi.


5. Jika Muhyiddin / Mahiaddin patuh kepada Perlembagaan, maka berundurlah. Letak jawatan sahaja supaya Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seseorang yang lebih kompeten dan ada leadership yang kuat untuk mengurus krisis yang dihadapi oleh negara.


6. Muhyiddin / Mahiaddin tidak ada leadership tersebut. Beliau tidak kompeten mengurus krisis pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi yang sedang dihadapi negara.


7. Muhyiddin / Mahiaddin bukan hanya tidak kompeten mengurus krisis-krisis ini, sebaliknya beliau mencetus krisis perlembagaan dan mencipta krisis dengan Yang di-Pertuan Agong.


8. Jika anda tidak kompeten dan tidak mempunyai leadership, jangan salahkan Ahli Parlimen lain yang telah menarik balik sokongan! Jangan salahkan Ahli Parlimen Pembangkang yang melaksanakan tanggungjawab semak-dan-imbang ke atas urustadbir, dasar, program dan SOP yang tidak kompeten serta kenyataan-kenyataan kerajaan anda tidak ber-empathy kepada rakyat. Itu salah anda sendiri kerana tidak kompeten.


9. Jangan salahkan parti-parti pembangkang apabila parti-parti dalam kerajaan anda bercakaran sesama sendiri! Itu jelas menunjukkan anda tidak kompeten mengurus masalah dalaman kerajaan kamu.


10. Saya percaya Perdana Menteri ke-sembilan (PM9) dan yang seterusnya boleh mengambil ikhtibar ini dan boleh menghidupkan semangat bi-partisan yang lebih genuine sebaik sahaja dilantik/dipilih kelak.


11. Apabila sudah tiada majoriti, Muhyiddin / Mahiaddin sudah tidak ada moral ground untuk memberi tawaran mengenai semangat bi-partisan. Itu sudah tidak genuine, hanya dibuat semata-mata untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri yang tidak kompeten. Tawaran yang dibuat oleh Muhyiddin / Mahiaddin tidak akan menyelesaikan krisis-krisis yang sedang dihadapi negara.


12. Beliau katakan mereka berhempas pulas menangani pandemik Covid-19 ini. Saya rasa tidak!


13. Kalau betul mereka berhempas pulas, kes tidak sampai ke tahap ini, jumlah kematian tidak ke jumlah ini, sistem dan jentera kesihatan tidak kritikal ke tahap ini. Kalau betul mereka berhempas pulas, kenapa Proklamasi dan Ordinan Darurat itu gagal menangani dan menyelesaikan pandemik Covid-19 ini? Sedangkan anda juga yang mengatakan tujuan Darurat tersebut adalah untuk menangani pandemik Covid-19 ini. Kalau betul anda berhempas pulas, kenapa pula ekonomi rakyat terus merudum, banyak yang terus kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, ramai yang merasa terpinggir daripada program bantuan? Kenapa sampai rakyat kibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan daripada rakyat? Kalau betul anda telah berhempas pulas, kenapa pula sampai doktor-doktor perlu menunjuk perasaan? Kenapa sampai rakyat terpaksa turun ke dataran untuk menyuarakan kekecewaan dan kemarahan mereka? Kalau betul anda telah berhempas pulas, kenapa benarkan anggota-anggota kabinet dan sekutu-sekutu anda melanggar SOP dan membuat jenaka tidak ber-empathy kepada rakyat, tetapi menangkap dan mendenda rakyat yang menegur SOP atau menegur kepimpinan kamu? Kalau betul anda berhempas pulas mengurus pandemik Covid-19, kenapa derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja?


14. Anda tidak berhempas pulas sebenarnya dalam mengurus pandemik ini. Anda tidak kompeten dan tidak ada leadership. Yang anda berhempas pulas ialah mengekalkan kedudukan anda, dan ini telah mencetuskan krisis-krisis baharu.


15. Kita perlukan seseorang yang lebih kompeten dan ada leadership untuk mengurus krisis-krisis ini!


16. Luhurkan Perlembagaan, berundur dan letak jawatanlah Muhyiddin / Mahiaddin supaya kita dapat melihat tahap kompetensi dan kepimpinan PM9 tersebut.


Ewon Benedick

ADUN Kadamaian

Naib Presiden UPKO

Comments


bottom of page