top of page

MyCC siasat 13 kes tipuan bida libatkan 561 perusahaan

nabalunews

6 Februari 2025


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang dalam proses menyiasat 13 kes berkaitan kartel tipuan bida, yang melibatkan 561 syarikat dengan jumlah tender bernilai RM2.3 bilion.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyatakan usaha ini adalah sebahagian daripada langkah tegas suruhanjaya tersebut untuk menangani aktiviti kartel yang merugikan, lapor Berita RTM.


"Menangani penipuan bida adalah penting untuk memastikan usaha kerajaan dalam mengutamakan kaedah tender dalam tadbir urus perolehan tidak disabotaj.


"Langkah kerajaan terhadap amalan anti-persaiangan ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan pasaran yang kompetitif dan adil, kata Amizan.


Beliau memberi kenyataan ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen mengenai keberkesanan MyCC dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010.


Tambahnya, usaha ini juga bertujuan untuk memperbaiki tatakelola dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengelakkan penipuan dalam proses bidaan.


Beberapa sektor yang terlibat dalam kes kartel tipuan bida ini termasuk Perkhidmatan Utiliti, Pembinaan, Makanan dan Minuman, serta Teknologi Maklumat.


Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) sedang merancang untuk meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) bagi memperkukuh penguatkuasaan.


Menurut Armizan, draf pindaan ini telah diluluskan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) dan kini diedarkan kepada kementerian berkaitan untuk mendapatkan maklum balas.


"Sebagai contoh, jika kes dibawa ke tribunal rayuan persaingan dan MyCC kalah di peringkat rayuan, MyCC tidak boleh membuat rayuan lanjut.


“Namun, pihak lawan boleh membuat rayuan ke mahkamah untuk semakan kehakiman. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memperbaiki sistem ini," jelasnya.


Turut diperkenalkan adalah rejim kawalan terhadap penggabungan yang memberi impak kepada persaingan.

Kommentare


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page