top of page
Wartawan Nabalu News

NADMA bakal keluarkan enam PTO baharu membabitkan bencana



19 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Enam Peraturan Tetap Operasi (PTO) baharu yang melibatkan pengurusan bencana akan dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam masa terdekat.


PTO baharu itu meliputi bidang komunikasi bencana, pusat kawalan operasi bencana, pusat kawalan tempat kejadian, bencana nuklear dan radiologi, bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana serta bencana tanah runtuh.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, draf PTO tersebut akan dimuktamadkan selepas mendapat pandangan daripada pelbagai pihak.


"Kita minta NADMA bukan hanya menggubal PTO tetapi turut mendapatkan pandangan daripada agensi kerajaan, para akademik serta pertubuhan bukan kerajaan misalnya Persatuan Jurutera dan Technologist Board," katanya kepada.


Jelas Armizan, ketika ini terdapat tujuh PTO sedia ada yang menggariskan peranan dan tanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.20.


Bagaimanapun, katanya terdapat beberapa aspek yang perlu diperincikan lagi dalam PTO sedia ada seperti pengurusan komunikasi media bencana.


"Apabila berlaku bencana tanah runtuh antara 'post mortem' yang kita terima adalah dari aspek komunikasi, media buat aduan bila berlaku kejadian tidak diduga kadang-kadang di peringkat awal mungkin terlepas pandang dalam aspek memberikan maklumat kepada masyarakat.


"Justeru, dengan adanya PTO kita mengharapkan pengurusan yang auto pilot apabila berlakunya sesuatu kejadian yang tidak meninggalkan aspek komunikasi, kerana perlu ada seseorang yang bergerak untuk cari maklumat," ujarnya.


Beliau juga menyeru semua pegawai daerah untuk memulakan mesyuarat dengan ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah bagi memastikan kesiapsiagaan berada di tahap maksimum dalam menghadapi bencana.

Comments


bottom of page