top of page
nabalunews

NADMA siap sedia hadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 dengan persediaan rapi




22 Oktober 2024

 

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bersedia sepenuhnya menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 yang dijangka bermula awal November ini, dengan penekanan kepada pengurusan dan mobilisasi aset untuk menghadapi banjir yang diramalkan lebih panjang.

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai agensi telah diselaraskan bagi memastikan kesiapsiagaan yang menyeluruh, termasuk Pusat Pemindahan Kekal Bencana yang kini mempunyai kemudahan lebih baik serta penyediaan makanan bagi mangsa banjir.

 

"Jawatankuasa Bencana Negara telah bersiap siaga, dan NADMA sebagai agensi penyelarasan telah menjalinkan kerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan termasuk polis, tentera, bomba, dan RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia). Kita juga memobilisasikan NGO (badan bukan kerajaan) termasuk persatuan radio amatur kerana ia boleh menjadi alternatif apabila bekalan elektrik terputus," katanya.

 

Beliau turut menambah bahawa kenderaan empat roda dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah disediakan lebih awal bagi memperkukuh usaha bantuan.

 

Dalam program terbitan RTM, Ahmad Zahid turut memaklumkan ramalan cuaca yang lebih lembap oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada bulan November hingga Disember bagi kawasan Timur Semenanjung, Sabah, dan Sarawak, serta cuaca lebih lembap di Johor, Sarawak, dan Sabah antara Januari hingga Februari 2025.

Comments


bottom of page