Naik taraf jalan Kg Bundu Paka sepanjang 140 meter hampir siap
8 November 2024
KOTA BELUD: Projek naik taraf jalan berbatu kepada konkrit sepanjang 140 meter di Kampung Bundu Paka, Kadamaian, kini sedang disiapkan bagi memudahkan pergerakan kenderaan kecil yang sebelum ini sukar melalui kawasan berkenaan.
Untuk meninjau perkembangan kerja naik taraf itu, Pemaju Mukim N. 11 Kadamaian, Anichlose Kesimin yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick melakukan lawatan ke Kampung Bundu Paka, Kadamaian, pada Khamis 7 November lalu.
Lawatan ini dilakukan atas permintaan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bundu Paka, Mujin Soborong.
Di samping melihat perkembangan kerja naik taraf jalan berkenaan, Anichlose juga diberi taklimat mengenai masalah hakisan tebing Sungai Kadamaian yang semakin membimbangkan dan berpotensi menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera.
Mujin merakamkan penghargaan kepada Ewon atas usaha beliau dalam menaik taraf infrastruktur di Kampung Bundu Paka.
"Kami di Kampung Bundu Paka amat berterima kasih kepada Datuk Ewon atas keprihatinan beliau terhadap permasalahan penduduk kampung.
"Walaupun masih banyak isu lain seperti hakisan tebing sungai yang memerlukan perhatian, kami yakin bahawa Datuk Ewon akan terus berusaha demi kesejahteraan rakyat Kadamaian," kata beliau.
Anichlose memaklumkan bahawa beliau akan membawa isu hakisan tebing Sungai Kadamaian ini kepada Jabatan Saliran dan Pengairan Daerah Kota Belud serta Pejabat Daerah Kota Belud untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap usaha Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dalam menyokong pembangunan infrastruktur di kawasan Kadamaian yang masih memerlukan perhatian khusus demi kemajuan yang lebih menyeluruh.
Comments