Naik taraf sekolah daif lebih penting daripada tubuh sekolah khas pelajar miskin – Masiung
16 Ogos 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan perpaduan perlu memberi tumpuan kepada menaik taraf ratusan sekolah daif di Sabah dan Sarawak daripada menubuhkan Sekolah Khas Pelajar Miskin yang dilihat tidak sesuai dengan situasi semasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, walaupun penubuhan sekolah khas itu mungkin mempunyai niat baik, ia tidak relevan untuk dilaksanakan kerana masih banyak sekolah dan asrama daif di Sabah dan Sarawak yang memerlukan pembaikan.
"Penubuhan sekolah khas pastinya memerlukan kos pembinaan yang lebih tinggi berbanding menaik taraf sekolah-sekolah daif yang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, cadangan untuk mewujudkan sekolah khas untuk pelajar miskin tidak praktikal kerana ia akan mencipta 'sistem kasta' yang membezakan latar belakang ibu bapa dan pelajar. Cadangan itu perlu dikaji semula kerana ia boleh memberi kesan psikologi yang tidak baik kepada pelajar.
Menurut beliau, pada masa ini, apa yang penting kerajaan perlu meningkatkan insentif dan bantuan kepada pelajar miskin untuk memastikan mereka dapat meneruskan pengajian.
Terdapat banyak cara lain untuk Kementerian Pendidikan membantu pelajar miskin. Antaranya menyediakan bas sekolah khas dan menambah bangunan asrama selain memberi bantuan keperluan sekolah seperti beg dan baju sekolah.
"Mungkin sudah tiba masa satu polisi dan dasar untuk membantu pelajar miskin dirancang mengikut keperluan sesebuah negeri dan wilayah. Memisahkan taraf dan mengkategorikan pelajar miskin dan golongan berada adalah tidak rasional bagi sebuah Kerajaan Madani ketika negara sedang menuju ke arah sistem pendidikan yang bersifat inklusif.
Dalam pada itu, beliau berkata pelajar yang ditempatkan di sekolah termiskin pasti akan merasa rendah diri dan tertekan emosi apabila bergaul dengan rakan sebaya mereka yang belajar di sekolah lain.
Masiung berkata, pelajar seharusnya didedahkan dengan pendekatan yang lebih baik untuk belajar dalam kalangan rakan sebaya mereka tanpa mengira latar belakang keluarga.
Oleh itu, KPM seharusnya meletakkan pelajar dari keluarga berkemampuan sebagai pembimbing atau mentor kepada pelajar yang dikategorikan sebagai miskin.
Kommentare