top of page

Native Land hak istimewa Orang Asal, jangan dijual: Monih

Writer: Jacquline EbitJacquline Ebit


9 Ogos 2021

Oleh Jacquline Ebit


KOTA KINABALU: Native Land atau Tanah Adat merupakan hak istimewa Orang Asal Sabah dan tidak sepatutnya dijual meskipun berhadapan dengan tekanan ekonomi, khususnya semasa pandemik Covid-19 ini, kata Setiausaha Persatuan Tatana Monih Epin.


Sebaliknya, Orang Asal (OA) yang memiliki tanah pusaka ini, khususnya geran Native Title (NT), harus tabah dan berusaha untuk mencari inisiatif demi kelangsungan hidup, seperti mengusahakan tanah itu untuk pertanian.


Menurut Monih, NT merupakan geran pemilikan tanah yang spesifik, dipetakan dan dianugerahkan kepada masyarakat pribumi Sabah sahaja.


Tambahnya, NT juga merupakan hak istimewa dan melambangkan identiti orang asal.


Menurut Ordinan Tanah Sabah 1930 (SLO) anak negeri Sabah boleh menuntut hak pemilikan tanah mereka di bawah hak tanah adat (NCR) bagi memiliki geran NT.


Oleh itu, Monih menasihati OA supaya tidak melepaskan tanah adat ini kepada orang lain (bukan orang asal) hanya kerana ingin mencari jalan keluar untuk menghadapi cabaran ekonomi.


"Tidak dinafikan bahawa pandemik Covid-19 telah memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat, termasuk OA di Sabah.


"OA yg kehilangan pekerjaan harus tabah dan berusaha agar dapat berdikari dan maju, seperti berusaha mempelajari bidang perkebunan dan pertanian, penternakan, perniagaan, dan sebagainya.


"Dalam keadaan norma baharu ini yang menghadkan interaksi sosial di luar, OA harus proaktif dan berusaha mempelajari kemajuan arus teknologi internet dan media sosial terkini sebagai norma baharu kehidupan.


"Teknologi Maklumat (IT) seperti Zoom Meeting, Google Meet, Skype, Instagram, Whatsapp dan sebagainya merupakan medium yang begitu berkesan untuk tujuan pembelajaran, pekerjaan, perniagaan dan berorganisasi dalam tempoh-tempoh PKP pada masa kini," katanya ketika ditemui Nabalu News kelmarin.


Sehubungan itu, beliau berpendapat bahawa OA perlu menggunakan sebaik-baiknya kemudahan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.


"Sebagai contoh, bantuan peralatan serta modal dana yang diberikan oleh kerajaan kepada para peniaga dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi meringankan beban di waktu-waktu pandemik ini, " katanya.


Dalam pada itu, Monih juga berpesan agar OA terus mengikuti semua protokol kesihatan semasa pandemik ini.


Hari ini merupakan Hari Antarabangsa Orang Asal Sedunia 2021 yang disambut pada 9 Ogos setiap tahun.


Sambutan ini merupakan satu usaha Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk meningkatkan kesedaran dan melindungi hak penduduk orang asli dunia.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page