NGO Jalinan Qaseh, komuniti kampung bantu baiki rumah daif dihuni lapan sekeluarga
21 November 2024
KOTA KINABALU: 35 tahun tinggal di rumah usang di pinggir Kampung Rampaian di sini. Itu kesulitan hidup yang dialami keluarga Nor Atizah Jimis bersama suami dan lima anak serta bapanya, Jimis alias Francis.
Mujur ada pihak yang prihatin tampil membantu. Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Jalinan Qaseh dan komuniti masyarakat setempat membantu membaiki rumah daif milik keluarga berkenaan.
Rumah yang dihuni keluarga Nor Atizah bersama suami, anak serta bapanya, sejak 35 tahun lalu begitu usang menyebabkan keluarga ini hidup dalam suasana kurang selesa dan tidak selamat setiap hari.
Menurut laporan Utusan Borneo, wakil pihak NGO Jalinan Qaseh Norhaizah Abu Bakar @ Marsya berkata, rumah tanpa atap dan dinding yang sempurna inilah yang menjadi tempat perlindungan kepada keluarga ini daripada hujan dan panas.
“Prihatin dengan nasib keluarga ini, NGO Jalinan Qaseh bersama komuniti masyarakat Kampung Rampaian dan belia dari kelab permotoran Sabah bertindak pantas untuk membantu keluarga ini yang sememangnya memerlukan perhatian daripada pihak berwajib.
“Komuniti sepakat bergotong-royong dengan penuh semangat kebersamaan, ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing memperbaiki rumah yang usang dan rosak teruk milik keluarga ini.
“Usaha ini berjaya menggantikan atap rumah yang bocor, memperbaiki dinding yang rosak dan membersihkan kawasan sekeliling rumah,” katanya.
Beliau berkata, sikap peduli yang ditunjukkan oleh NGO Jalinan Qaseh dan komuniti masyarakat Kampung Rampaian ini seharusnya menjadi inspirasi dan teladan kepada masyarakat umum.
“Ia membuktikan bahawa kerjasama antara NGO dan komuniti berupaya membawa perubahan yang ketara kepada mereka yang memerlukan, terutamanya keluarga yang hidup dalam kesempitan.
“Diharapkan inisiatif ini dapat menjadi contoh kepada pihak berwajib dan masyarakat untuk lebih peka terhadap keperluan golongan yang kurang bernasib baik, dan bersama-sama membantu meringankan beban mereka,” katanya.
Nor Atizah berkata, sebelum ini dia sudah memohon bantuan rumah dari pihak berwajib, bagaimanapun sehingga ke hari ini belum mendapat sebarang bantuan.
“Saya dan suami tidak mempunyai pekerjaan tetap, bapa saya pula hanya seorang nelayan yang kadang kala dibantu suami menangkap ikan di laut.
“Sebelum ini saya ada minta dan menghantar permohonan, cuma tidak tahulah, mungkin pihak di sana terlupa ataupun tidak peduli ataupun tidak perasan, tidak pastilah.
“Saya ada anak ada lima orang semuanya, tiga masih bersekolah, seorang lagi akan bersekolah di Pra Sekolah tahun hadapan manakala seorang lagi usia sudah memasuki empat tahun, semua kami terpaksa tinggal tidak kira berpanas dan berhujan di rumah daif ini,” katanya.
Beliau berterima kasih dengan bantuan daripada pihak NGO Jalinan Qaseh serta komuniti yang membantu mereka dan beliau berharap agar ada pihak yang dapat menolong mereka keluar dari belenggu kesusahan hidup mereka.
“Saya harapkan agar pihak kerajaan membantu mengembalikan sokongan yang kami berikan dan anak-anak saya mendapat perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Comments