top of page

NRES anjur Hari Bumi Tuaran, perkukuh pemuliharaan alam sekitar

  • nabalunews
  • 13 minutes ago
  • 2 min read


22 April 2025


TUARAN: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) hari ini dengan kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik telah menganjurkan Sambutan Hari Bumi Tuaran 2025 dalam usaha memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, NRES memaklumkan sebagai simbolik sambutan, 85 buah sekolah di seluruh daerah Tuaran menanam 8,800 anak pokok Liposu (Baccaurea Lanceolata) secara serentak.


Katanya, acara penanaman pokok tersebut turut mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), masing-masing di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah.


“Penganjuran sambutan berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar malah turut menyokong aspirasi kerajaan menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021–2025,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri NRES, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kerajaan komited dalam memperkasa kelestarian alam sekitar sejajar dengan matlamat Malaysia Madani bagi mengurus sumber asli dan alam sekitar secara berkesan serta mampan.


Huang berkata, komitmen kerajaan dibuktikan melalui peruntukan dalam Belanjawan 2025 sebanyak RM3.2 bilion untuk pembangunan sektor alam sekitar.


“Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah besar dana untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya RM9.6 bilion bagi SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi, bertujuan meningkatkan akses kepada air bersih serta sistem pembentungan berkesan, terutamanya di kawasan luar bandar.


“Selain itu, RM5.2 bilion diperuntukkan untuk SDG 13: Tindakan Iklim, merangkumi pelaksanaan inisiatif peralihan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, serta pengurusan risiko bencana seperti banjir,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan di Kem Malangang, Kiulu, di sini.


Menurutnya, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.


Dalam pada itu, Huang turut menyeru agar sambutan seumpamanya menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kelestarian alam sekitar, di samping menyemai nilai cintakan bumi dalam kalangan generasi muda.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page