Olimpik Paris: Chong Wei ingatkan atlet Malaysia, jangan cemas
- nabalunews
- Jul 27, 2024
- 2 min read

27 Julai 2024
KUALA LUMPUR : Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengingatkan atlet-atlet negara supaya tidak cemas semasa pertandingan dengan berkongsi kisah lucu semasa kali pertama beraksi di Sukan Olimpik Athens 2004 sebelum berdepan wakil Hong Kong dalam pusingan pertama, Ng Wei.
Katanya, kisah lucu tersebut secara tidak langsung menghilangkan perasaan gementar dan membolehkannya meraih kemenangan untuk mara ke pusingan kedua.
Chong Wei berkata situasi cemas berkenaan menuntutnya memerlukan perhatian daripada ahli terapi kem Malaysia ketika itu.
Namun apa yang menghairankannya, ahli terapi tersebut asyik menyebut nama Jason sehingga mengundang kehairanan Chong Wei.
Rupa-rupanya Jason adalah nama ahli terapi itu.
"Jangan cemas! Malaysia boleh,” tulis legenda badminton negara itu dalam hantaran Facebook rasminya pada Jumaat.
Chong Wei turut membakar semangat barisan pemain badminton negara yang memulakan aksi di Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.
Beliau meminta semua pihak berdoa dan memberikan sokongan kepada kontinjen negara dalam misi mengharumkan nama Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia dan pemenang tiga pingat perak Olimpik itu berharap dengan doa dan sokongan berterusan kontinjen negara dapat kembali dengan membawa pulang pingat emas pertama negara yang dinanti-nantikan selama ini.
Chong Wei berkata pemain tidak perlu berfikir banyak sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan dan berjuang habis-habisan.
"Setakat ini apa yang saya tahu, persiapannya semuanya baik. Undian sudah dijalankan tidak boleh tukar lagi.
"Apa yang perlu dilakukan mereka sekarang ini adalah fokus satu demi satu perlawanan," katanya kepada BH Sukan.
Untuk rekod, Chong Wei muncul atlet terbaik negara di pentas Olimpik setakat ini apabila tiga kali memenangi pingat perak bermula pada edisi Beijing 2008 diikuti London 2012 dan Rio de Janeiro 2016 sebelum dia bersara pada 2019.
Menurut pembawa Jalur Gemilang Rio 2016 itu, pemain perlu sentiasa tenang setiap kali mereka melangkah masuk ke gelanggang berdepan lawan masing-masing supaya dapat menampilkan prestasi terbaik mereka.
"Apabila sudah semakin hampir pada hari perlawanan tidak ada apa yang perlu difikirkan lagi hanya tenangkan diri.
"Mereka harus menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang, dari segi angin dan cuaca," katanya.
Comentarios