top of page

Op Bazar Ramadan. Jabatan Kesihatan Keluar 34 notis

nabalunews

14 Mac 2025


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengeluarkan 34 notis kepada peniaga sepanjang operasi Op Bazar Ramadan bulan ini.


Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman berkata, notis dikeluarkan selepas peniaga didapati gagal mematuhi peraturan dalam mengendali makanan ketika berniaga di bazar Ramadan.


Katanya, setakat ini sebanyak 1,152 premis telah diperiksa iaitu melibatkan 17 daerah di seluruh negeri.

“Seramai 2,393 pengendali makanan di bazar Ramadan telah diperiksa dan seramai 2,325 atau 97.2 peratus orang didapati memiliki suntikan, 2,328 atau 97.3 peratus telah mendapat latihan pengendali makanan.


"Namun hasil pemeriksaan itu juga terdapat peniaga turut dikenakan tindakan kompaun dengan nilai RM5,200 melibatkan 34 notis,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas tinjauan mesra di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka, di sini, pada Jumaat.

Dr Maria berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada sijil latihan pengendali makanan sebanyak 11 kesalahan dan berkaitan suntikan anti tifoid melibatkan lima kesalahan.


Selain itu katanya, kompaun berkenaan turut melibatkan pakaian pengendali makanan iaitu sebanyak 16 kesalahan.


“Kesalahan yang ditemui termasuk memakai aksesori seperti cincin, gelang ataupun pin di mana ia adalah tidak dibenarkan kerana boleh menjadi penyebar bakteria dan menyebabkan jangkitan," katanya.


Menurutnya, semua notis dan kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, kesalahan Peraturan 33 (kebersihan diri pengendali makanan).


“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page