top of page
nabalunews

Op Khas Motosikal berjaya kurangkan kemalangan maut – 321 kes dicatat




23 Oktober 2024

 

IPOH: Pelaksanaan Op Khas Motosikal selama sebulan sejak 12 September lalu telah menunjukkan kesan positif dengan penurunan ketara dalam jumlah kemalangan maut.

 

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (PJSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, mengumumkan bahawa sebanyak 2,461 kes kemalangan telah direkodkan, menurun sebanyak 274 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

 

"Daripada jumlah itu, 321 kemalangan maut dicatatkan berbanding 434 kes pada 2023. Jumlah kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal juga menurun kepada 324 kes, berbanding 436 kematian tahun lalu," jelas beliau kepada pemberita selepas merasmikan program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini, hari ini.

 

Menurut beliau, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi dengan 843 kes, diikuti jalan negeri (756 kes), jalan persekutuan (305 kes), lebuh raya (202 kes), dan lain-lain jalan dengan 355 kes.

 

Selain itu, Mohd Yusri turut memaklumkan bahawa kemalangan maut melibatkan pelajar sekolah mencatatkan sebanyak 779 kes dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menyumbang kepada 20 peratus daripada keseluruhan 4,043 kes kemalangan jalan raya yang direkodkan sehingga September lalu.

Comments


bottom of page