top of page

Op Khas Pagar Laut Catat: Rampasan Mencecah RM4.8 juta

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read


16 April 2025


KOTA KINABALU: Operasi Op Khas Pagar Laut yang dilancarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selama sebulan berjaya merekodkan rampasan mencecah nilai RM4.8 juta.


Operasi bermula 10 Mac lalu dan berakhir hari ini turut merekodkan 87 kes tangkapan membabitkan penahanan 321 individu atas pelbagai kesalahan.


Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, rekod itu adalah kejayaan pelaksanaan operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh kawasan perairan negara.



Katanya, operasi membabitkan empat fasa itu dimulakan dengan pengumpulan maklumat dan kesiapsiagaan aset, penguatkuasaan pra dan pasca Aidilfitri hinggalah ke sesi penilaian selepas operasi.


"Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 87 kes tangkapan direkodkan membabitkan warga Myanmar, Indonesia, China, Iran, Bangladesh, Vietnam dan lain-lain negara.


"Berdasarkan kepada tangkapan yang dilakukan, kesalahan tertinggi adalah melibatkan Akta Perikanan 1985 iaitu 44 kes, diikuti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (26 kes) dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu 16 kes," katanya.



Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah APMM Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.


Mohd Rosli berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM4.809 dengan rampasan terbesar membabitkan dua buah vesel nelayan asing yang bernilai RM3 juta.


"Manakaa rampasan lain ialah rokok seludup (RM958,000), benih udang kara dan ikan (RM500,490), bot dan enjin (RM222,900), kenderaan (70,5000), barang kawalan (RM17,671.50), bubu naga/pukat pari (RM37,160) dan diesel/petrol (RM3,215).


"Manakala kes tangkapan tertinggi adalah di Maritim Malaysia Johor iaitu mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 22 kes, diikuti APMM Sabah dan Labuan dengan 21 kes dan APMM Sarawak iaitu sebanyak 14 kes," katanya.


Mohd Rosli berkata, secara keseluruhan jumlah kes tangkapan operasi kali ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu iaitu 176 kes.


Katanya, penurunan ini mencerminkan kesan pencegahan awal hasil pemantauan berterusan serta kerjasama masyarakat dan komuniti maritim.


"Perlu saya tegaskan bahawa operasi ini tidak hanya bersifat penguatkuasaan semata-mata tetapi pelbagai kesedaran di laut seperti kempen Sahabat Maritim serta libat urus komuniti setempat.


“Ia dijalankan bagi memperkukuh peranan masyarakat dalam menjadi mata dan telinga kepada agensi ini.


"APMM akan terus komited dalam menjaga keselamatan perairan negara. APMM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana elemen jenayah rentas sempadan mahupun pencerobohan yang mengugat keselamatan maritim negara," tegasnya.


Terdahulu pada majlis sama turut menyaksikan Laksamana Pertama Maritim, Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali dilantik sebagai Pengarah Maritim Sabah dan Labuan berkuatkuasa hari ini, bagi menggantikan Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page