top of page

Op Mabuk: 82 kenderaan diperiksa, dua pemandu ditahan.

  • nabalunews
  • 11 hours ago
  • 1 min read

27 April 2025


PENAMPANG: Dua pemandu mabuk ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.


Kedua-dua lelaki terbabit ditahan hasil pemeriksaan terhadap 96 pengguna jalan raya melibatkan 82 kenderaan.


Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya turut mengeluarkan 10 saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, semua saman berkenaan dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dan tujuh daripada tidak memiliki lesen memandu.


“Dua lelaki ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Sammy berkata, individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.


Sementara itu, Sammy berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Penampang.


Katanya, operasi melibatkan kekuatan seramai seorang pegawai kanan polis dan dibantu lapan anggota polis.

“Operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page