Op Mabuk: 82 kenderaan diperiksa, tiga pemandu ditahan
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

6 April 2025
PENAMPANG: Tiga pemandu mabuk ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di Jalan Kota Kinabalu - Penampang, malam tadi.
Ketiga-tiga individu itu ditahan hasil pemeriksaan terhadap 96 pengguna jalan raya dan 82 kenderaan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya turut mengeluarkan tujuh saman atas pelbagai kesalahan.

Katanya, enam daripada saman berkenaan adalah atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu kenderaan.
“Tiga lelaki ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sammy berkata, individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.
Sementara itu, Sammy berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Penampang.
Katanya, operasi melibatkan kekuatan seramai tiga pegawai kanan polis yang diketuai oleh Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozaimi Ahmad dan dibantu 10 anggota polis.

“Operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.
Comments