top of page

OPERASI CARILAMAT REMAJA HILANG DI TANJUNG SEMAWANG, DITAMATKAN

nabalunews

19 Februari 2025


SANDAKAN: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) remaja lelaki yang hilang di perairan Tanjung Semawang sejak Sabtu lalu, ditamatkan.


Operasi yang memasuki hari keempat itu dihentikan selepas tiada sebarang petunjuk baharu ditemui setakat ini.


Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, operasi pencarian ini melibatkan empat buah vesel dan satu unit dron daripada pelbagai agensi.


Katanya, operasi pencarian yang turut dibantu beberapa bot milik penduduk kampung itu sudah dijalankan merangkumi kawasan sehingga 72 batu nautika persegi.


“Namun, faktor perairan yang semakin luas serta beberapa kawasan cetek menyukarkan lagi misi pencarian.


“Sehubungan itu, operasi rasmi CARILAMAT telah ditamatkan pada pukul 6.30 petang semalam, namun pemantauan tetap diteruskan menerusi rondaan aset Maritim Malaysia serta agensi sahabat yang bertugas di kawasan perairan berdekatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Terdahulu, Muhammad Nor Aiman Arif, 14 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar menangkap udang di laut bersama beberapa rakannya kira-kira jam 5.30 pagi, Sabtu lalu.


Kehilangan Muhammad Nor Aiman disedari keluarganya dan penduduk kampung apabila mangsa tidak pulang ke rumah.


Satu laporan terus dibuat kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa.


Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik menzahirkan penghargaan kepada semua agensi serta komuniti maritim yang memberikan kerjasama sepanjang operasi berlangsung.


Katanya, orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat atau sebarang petunjuk berkaitan kehilangan mangsa ke Bilik Operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau menghubungi talian kecemasan Mers 999.


“Maritim Malaysia turut menasihatkan komuniti maritim agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di laut, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.


“Langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan dan memaklumkan lokasi perjalanan kepada ahli keluarga amat penting bagi mengelakkan insiden seumpama ini berulang,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page