Operasi Khas Motosikal besar-besaran
2 November 2024
SHAH ALAM: Operasi Khas Motosikal akan dilaksanakan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara berikutan peningkatan kadar kemalangan jalan raya yang dicatatkan sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, menjelaskan bahawa operasi ini bertujuan untuk memastikan penunggang dan pemilik motosikal mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan-peraturan berkaitan.
Menurut beliau, langkah ini diambil setelah statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dalam jumlah kemalangan maut secara bulanan, yang mencerminkan trend kemalangan yang semakin serius.
"Kadar kemalangan melibatkan motosikal mencatatkan sebanyak 1,908 atau 70 peratus sejak akhir ini.
"Operasi ini menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, ia melibatkan mengesan serta mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
"Selain itu, kesalahan lain melibatkan ubah suai kenderaan secara melampau, tidak memakai topi keledar, lumba haram serta kesalahan lain melibatkan teknikal turut sama diberi perhatian," katanya.
Menurutnya, JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang serta pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
"Sentiasa bertoleransi bersama pengguna lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
"Usaha ini juga untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM)," katanya.
Tambahnya, orang ramai diseru melaporkan aduan secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan.
תגובות