Operasi Pencarian Budak Autistik Hilang Dari Rumah Giat Dijalankan
- nabalunews
- 3 hours ago
- 1 min read

20 April 2025
TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki autistik dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Bahagia Dua, Tamparuli, di sini, hari ini.
Kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilaksanakan di kawasan sekitar kampung melibatkan pasukan penyelamat, unit anjing pengesan dan penduduk kampung.
Difahamkan, mangsa, Muhd Aniq, kali terakhir dilihat sekitar jam 1.30 tengah hari sebelum dilaporkan hilang tanpa jejak di kawasan berhampiran rumah keluarganya yang terletak di belakang Pejabat Daerah Tamparuli.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubun kejadian berkenaan pada jam 1.52 petang.
Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera dan unit anjing pengesan K9 dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Operasi pencarian dijalankan dalam radius 300 meter dari lokasi kanak-kanak itu dilaporkan hilang dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.
“Usaha pencarian turut melibatkan bantuan anjing pengesan, namun sehingga kini mangsa masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi ditangguhkan sekitar jam 7 malam atas arahan pihak polis dan dijadualkan bersambung esok, namun, beberapa anggota dijangka akan meneruskan pencarian pada waktu malam.
“Kami sedang melakukan segala usaha yang termampu. Perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan kami mohon doa orang ramai agar mangsa ditemui dengan selamat,” katanya.
Comments