Ops Kesan 3.0 pantau aktiviti pencatutan
1 Disember 2024
SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Kesan 3.0 bermula hari ini untuk memantau dan mengekang aktiviti pencatutan.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi ini digerakkan sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuatkuasa bermula hari ini.
Katanya, dalam pelaksanaan Ops Kesan 3.0, KPDN sedang dan akan menggerakkan lima pendekatan iaitu melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Oktober lalu.
“Data ini akan dijadikan asas perbandingan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA. Kedua iaitu mengguna pakai data-data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN yang meliputi sebanyak 480 item sebagai panduan pemantauan sebarang pergerakan harga.
“Seterusnya mengukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan menggunakan partisipasi awam sejajar dengan pelaksanaan KITA GEMPUR iaitu gerakan membasmi manipulasi dan ketirisan,” katanya kepada media selepas sesi advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) di Pusat Bandar Batu 8, di sini hari ini, lapor Bernama.
Selain itu, Armizan berkata, menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan aduan-aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam dari masa aduan diterima.
“Seterusnya kelima menyediakan saluran aduan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat dan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran-saluran seperti Aplikasi WhatsApp 019-8488000, Portal e-Aduan KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sepanjang tempoh pengumpulan data Ops Kesan 3.0, sebanyak 2,803 premis telah diperiksa di seluruh negara membabitkan 13,209 item.
Katanya, setiap premis yang dilawati telah diberikan notis bertulis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 untuk mendapatkan maklumat awal berkenaan harga dan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Data harga dan perkhidmatan
ini akan dijadikan rujukan untuk memantau sebarang pergerakan harga bermula tarikh berkuat kuasanya SSPA.
“Pelaksanaan Ops Kesan 3.0 akan dilakukan bagi mengesan manamana pihak yang membuat peningkatan harga dengan tujuan mengaut keuntungan yang berlebihan sekali gus mengekang aktiviti pencatutan sebaik bermulanya kenaikan gaji penjawat awam.
“Peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga
RM100,000 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.
Comments